Thursday, January 29, 2009

Bahasa al-Quran : Bahasa Terpilih

Bukan niat untuk mempertikaikan bahasa lain sebenarnya namun itulah hakikat. Bahasa Melayu contohnya, penelitian terhadap gaya bahasa, corak penulisan, cara penulisan, bentuk ejaan atau apa sahaja seringkali menerima perubahan dari masa ke semasa. Malahan bukan itu sahaja, cara bertutur juga diubah mengikut keadaan semasa katanya. Sebentar di'baku'kan, sebentar lagi diubah kembali kepada asal.
Tidak percaya? Undur sebentar 20 tahun ke belakang. Cuba baca dan faham apa maksud kehendak ayat di bawah.
"akal baginda sangat sempurna, adil dan murah terlalu behena;masyhur limpah anta permana, dikasih oleh mulia dan hina."
Penggunaan kosa kata melayu dulunya disebut 'anta permana' (انت فرمان) bermaksud 'tidak terkira' tidak digunakan lagi waktu ini. Malahan, diyakini 100% kalau tidak diberitahu maksud perkataan tersebut, pasti ramai anak muda kita yang tidak faham.
Perubahan begini sebenarnya bukan berlaku kepada bahasa Melayu sahaja, malahan semua bahasa yang masih ada di dunia termasuk bahasa Latin yang hampir hilang kerana tidak dituturkan.
Begini senario bahasa sebenarnya. kecenderungan untuk hilang ditelan zaman, besar peratusannya sekiranya tidak berubah mengikut masa.
Al-Quran, tidak begitu! Bahasanya kekal dan konsisten selama mula ia diturunkan hinggalah kini. Bagi mereka yang pandai berbahasa Arab, bacalah dari mana-mana bahagian teks al-Quran yang diingini atau di zaman mana pun ia berada, pasti akan difahami kehendak al-Quran dengan baik.
Allah, benar sekali janjimu. al-Quran akan terpelihara sampai akhir zaman itu, bukan sekadar pada tulisannya malahan fahaman tentangnya juga. Aspek pemeliharaan tersebut turut mencakup aspek bahasa yang menjadi alat untuk menyampai dan memahamkan. Agungnya al-Quran!!!

Wednesday, January 14, 2009

Keagungan al-Quran diiktiraf Cendiakawan Barat

Kehebatan al-Quran sememangnya telah lama diiktiraf oleh Cendiakawan Barat. Pada tahun 1982, Keith Moore, seorang profesor di Universiti Toronto, telah menulis sebuah buku berjudul : "The Developing Human, edisi ketiga". Di dalamnya Moore menceritakan kehairanannya dengan 'cerita pertumbuhan embrio di dalam Quran'.


Selepas itu, beliau menulis lagi satu buku yang berjudul "Human Development as described in the Quran and Sunnah" yang amat gemar dipetik petikannya oleh pengikut Sunni.[2] Sumbernya hanya satu iaitu, ayat Quran tersebut yang bermaksud "Kemudian Kami jadikan ‘pati’ air mani (yang disimpan) di dalam tempat yang kukuh.


Kemudian mani itu kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan sepotong daging, lalu sepotong daging itu Kami jadikan tulang, lalu tulang itu Kami bungkus dengan daging, kemudian dia Kami ciptakan makhluk yang lain. Maka Maha suci Allah yang sebaik-baik menciptakan."[3] (Surah al-Mukminun 23: 13, 14) Bukan setakat itu, bahkan al-Quran merupakan sumber kepada segala bentuk aspek keilmuan.

Al-Qur'an diturunkan ketika umat manusia hanya mengetahui sedikit mengenai astronomi, fizik atau biologi yang mengandungi fakta mengenai pelbagai subjek seperti penciptaan alam semesta, manusia, struktur atmosfera dan keseimbangan yang membenarkan kehidupan di atas muka bumi. Dalam al-Qur'an yang diwahyukan 1400 tahun lalu, ketika pengetahuan tentang astronomi masih sedikit, fakta mengenai pengembangan alam semesta telah diterangkan seperti maksud dari firman-Nya : Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya. (Surah az-Dzariyat 51: 47) Edwin Hubble mengatakan, “Perkataan 'langit' yang dinyatakan dalam ayat di atas digunakan dalam banyak tempat dalam al-Quran yang bermaksud ruang angkasa dan cakerawala.

Dalam perkataan lain, al-Quran mendedahkan hakikat mengenai proses pengembangan alam semesta. Dan ini merupakan puncak kesimpulan yang diputuskan oleh dunia sains hari ini.”[4] Lantas, kebenaran al-Quran sebagai kitab yang menjadi sumber kepada semua ilmu di dunia tidak dapat disangkal lagi. Apa yang menjadi pokok perbincangan penulis pada kertas kerja ini ialah bagaimana al-Quran itu menjadi sumber kepada ilmu psikologi yang menjadi satu kepentingan kepada generasi masa kini.

http://www.answering-islam.org/Bahasa/Quran/SainsIslamik.html [3] Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran (1968). Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad. [4] http://www.harunyahya.com/ op. cit.

Friday, January 9, 2009

‘Tafsir Darussalam’ mercu tanda kecemerlangan Islam

ni berita untuk negara Brunei... kita tumpang gembira...
mana taknya dapat pemimpin yang menyokong usaha untuk faham al-quran.. itukan yang terbaik...?

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika mengurniakan titah di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1428 Hijrah berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

BERAKAS, Khamis, 24 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, kejayaan usaha menyusun tafsir Al-Qur’an yang diberi nama 'Tafsir Darussalam' akan menjadi satu lagi mercu tanda kegemilangan Islam di negara ini.
Menurut titah baginda ia juga akan turut menambah banyak lagi bahan rujukan memahami kandungan Al-Qur’an, di samping kitab-kitab tafsir yang muktabar yang sedia ada.
Kebawah DYMM bertitah demikian pada Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1428 Hijrah berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa di sini.

Terdahulu baginda melahirkan perasaan gembira serta berharap usaha itu akan berjaya dan ia selaras dengan projek penyebaran kefahaman kandungan Al-Qur’an.

Semasa bertitah baginda juga menekankan bahawa sistem pendidikan di negara ini mengambil berat pelajaran agama dan Al-Qur’an.

Jelas titah baginda, perkara tersebut turut benar-benar difahami dan didukung oleh setiap keluarga dan baginda difahamkan bahawa ramai keluarga yang mengaturkan anak-anak mereka belajar Al-Qur’an secara ‘private’ di samping belajar di sekolah.

"Ini adalah pertanda baik sebagai sifat bangsa yang cintakan Al-Qur’an," tegas titah baginda.
Baginda juga melahirkan rasa syukur kerana negara memiliki Institut Tahfiz Al-Qur’an yang mengajarkan ilmu-ilmu Al-Qur’an khasnya di bidang hafalan dan bacaan murattal yang menambah fungsi penyebaran kefahaman Al-Qur’an.

Kebawah DYMM juga memetik beberapa ayat Surah Thaa-Haa yang tafsirnya, 'Taa-haa, "Tidaklah Kami menurunkan Al-Qur’an itu kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya (ia) menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah."

Wednesday, January 7, 2009

HEBATNYA KALAM YANG AGUNG

Hari ni nak bawakan tentang al-Quran sebagai sumber kepada semua ilmu. Patutnya mula-mula lagi dah masukkan hal ni.. tapi lupa la... renungkanlah bersama-sama.
Al-Quran mengiktiraf dirinya sendiri sebagai kitab yang penuh dengan ilmu, pengajaran dan kebaikan untuk manusia yang tahu mengambil manfaat daripadanya. Banyak ayat al-Quran yang merakamkan perkara sedemikian antaranya ialah, firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu iaitu al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.
(Surah Fussilat 41: 3)
Firman Allah s.w.t. lagi dalam kitabNya al-Aziz al-Karim bermaksudnya : "Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (Wahai Muhammad) nescaya berhasillah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan diri mereka sendiri. Dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudharat kepadamu sedikitpun, dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu kitab (al-Quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam) dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepadamu amatlah besar.
(Surah al-Nisa’ 4: 113)

Oleh hal yang demikian maka, al-Quran tepat sebagai sumber setiap cabang ilmu yang berguna kepada manusia, antaranya sumber kepada ilmu psikologi. Hanya kerana ilmu psikologi ini muncul awal iaitu pada tahun 384 SM, maka puak Barat dianggap pelopor dalam ilmu ini. Walhal perkara tentang jiwa dan kelemahannya sudah mula disentuh semenjak terciptanya Adam apabila menangnya sifat-sifat mazmuzah dalam diri apabila dihasut oleh godaan Iblis. Firman Allah, mafhumnya : "Setelah itu, maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua (Adam dan Hawa) supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata, “Tidakkah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga). Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata), “sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”

Sunday, January 4, 2009

AL-QURAN DAH MEMBENARKAN BENTUK BUMI YANG SFERA

Ni artikel Harun Yahya.. sengaja nak berkongsi tentang al-Quran memang agung!

Pada zaman dahulu, manusia percaya bahawa bumi adalah rata. . Ini menyebabkan manusia takut untuk belayar jauh ; takut kalau terjatuh di hujung dunia! Orang pertama yang membuktikan alam ini berbentuk sfera ialah Sir Francis Drake apabila beliau belayar mengelilingi dunia pada tahun 1597.

Cuba perhatikan ayat al-Quran di bawah yang menceritakan tentang pertukaran malam dan siang yang bersilih ganti.

Tidakkah kamu memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam kedalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. (Surah Luqman : 29)

"Memasukkan" di sini bermaksud Allah S.W.T. menukarkan malam kepada siang dan siang kepada malam secara perlahan-lahan. Fenomena ini hanya boleh berlaku sekiranya dunia ini berbentuk sfera. Jika dunia ini rata, pastinya pertukaran malam kepada siang dan siang kepada malam akan berlaku secara tiba-tiba..

Ayat Al-Quran di bawah juga menceritakan tentang dunia yang berbentuk sfera.
Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar ; Dia menutupkan malam atas siang dan menutupkan siang atas malam. (Surah Az-Zumar: 5)

Perkataan Arab yang digunakan di sini ialah "kawwara" yang bermaksud menutup, sebagaimana serban menutup kepala. Penutupan secara "kawwara" yang bersilih ganti hanya boleh berlaku jika dunia ini berbentuk sfera.

Dunia ini sebenarnya bukanlah bulat seperti bola, tetapi "Geo-Spherical", iaitu dunia ini mendatar di Kutub Utara dan Selatan. Ini dijelaskan dalam ayat Al-Quran di bawah;
((Dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya))(Surah An-Naazi 'aat: 30)

Perkataan Arab "dahaaha" di sini bermaksud telur burung unta. la juga bermaksud sesuatu yang luas terbentang ( seperti dalam tafsiran, Yusuf Ali). Bentuk telur burung unta pula menyerupai bentuk bumi, iaitu bentuk "Geo-Spherical".

Oleh itu, Al-Quran dengan tepatnya menjelaskan bentuk sebenar bumi, walaupun manusia pada masa Al-Quran diturunkan mempercayai bahawa dunia ini berbentuk datar.

Saturday, January 3, 2009

MUKADDIMAH PENGENALAN

Assalamualaikum teman-teman seperjuangan sekalian...
Blog ini berwajah baru ... setelah lama menyepi daripada bidang penulisan. Bangkit dari kematian blog yang lama. Moga ini akan berterusan dan selamanya membantu diriku untuk terus menulis.
Sebagai mukaddimah dan memang menjadi tema utama untuk mewujudkan blog ini ialah 'Mendalami ilmu al-Quran'.
Oleh itu, salam perkenalan... bingkisan mukaddimah kertas projek bertajuk 'Psikologi dalam al-Quran' saya hidangkan untuk teman-teman sekalian.
Tiada yang berani menafikan al-Quran benar-benar mukjizat dan sumber petunjuk kepada manusia seluruh alam. Meskipun ada, semuanya hanya berani di hadapan namun, akur dan takjub di dalam hati akan kelengkapan kalam Allah s.w.t.. Buktinya banyak, antaranya maklumat yang diberikan di dalam al-Qur'an mengenai tamadun mesir purba mendedahkan banyak fakta-fakta sejarah yang tidak dapat disingkap sehingga akhir-akhir ini. Fakta-fakta ini juga menunjukkan kepada kita bahawa setiap perkataan di dalam al-Qur'an adalah kalam yang telah diturunkan oleh Maha Tinggi lagi Bijaksana.

Haman merupakan satu watak yang namanya disebut di dalam al-Qur'an seiring dengan kalimah Firaun. Watak ini dirakamkan di dalam enam tempat yang berbeza di dalam al-Qur'an. Apa yang mengejutkan, nama Haman tidak pernah disebutkan di dalam kitab Taurat. Kebenaran al-Quran dibuktikan setelah alpabet hiroglifik bangsa mesir berjaya ditafsirkan kira-kira 200 tahun lalu, dan nama Haman ditemui di dalam tulisan-tulisan purba. Misteri hiroglifik mesir purba akhirnya berjaya diselesaikan pada tahun 1799 dengan penemuan sebuah batu bersurat yang dinamakan 'Rosetta Stone' bertarikh kembali pada tahun.[1] Justeru, golongan penganut non-muslim, yang mendakwa bahawa nabi Muhammad s.a.w menulis al-Qur'an dengan menyalin dari kitab Taurat dan Injil ke dalam al-Quran, tidak tepat.