Friday, August 6, 2010

Al-Quran sebut kepentingan langit

Salam sahabat sekelian... kali ini saya bawakan pula berkenaan tentang kejadian langit. al-Quran menyebut dalam banyak ayat-Nya berkenaan kejadian dan kepentingan awan. Namun, kita lebih kagum dengan fakta sains yang membongkarnya. padahal al-Quran sudah yang terawal menyebut tentangnya.

Maka, perbincangan ini saya bawakan melalui tafsiran Harun Yahya yang penuh dengan fakta yang terperinci. Sedikit tentang Harun Yahya.


Harun Yahya juga di antara ulama yang membuka mata-mata saintis barat kepada rujukan al-Quran, sumber fakta yang tepat. Harun Yahya atau nama sebenarnya Adnan Oktar, warga Turki merupakan penulis aktif yang mengaitkan kekuasaan Allah secara saintifik. Antara isu yang dikutip di sini ialah, ‘Atap’ yang terjaga dengan baik.

Firman Allah yang bermaksud,

“Kami jadikan langit sebagai atap yang terjaga baik, tetapi mereka berpaling dari tanda-tanda yang ada.”
(Surah al-Anbiya’ 21: 32)

Hampir semua orang pernah melihat permukaan bulan. Strukur permukaan ini tidak rata kerana kejatuhan tahi bintang yang tidak terhitung. Besarnya kawah-kawah yang terbentuk dengan tahi bintang ini merupakan ciri-ciri bulan yang paling khusus. Segala kedudukan angkasa atau tempat tinggal yang didirikan di permukaan bulan tanpa perisai khusus akan berkemungkinan untuk menjadi rata sama dengan tanah. Satu-satunya cara untuk mencegahnya adalah ‘menjaga’-nya dengan berbagai cara.

Perbahasan terperinci ini, hampir tidak pernah kita fikirkan. Disediakan untuk bumi dengan cara semulajadi. Justeru, manusia tidak perlu mengambil tindakan lebih untuk bertahan. Atmosfera bumi menghancurkan semua tahi bintang besar dan kecil yang mendekati bumi, menyaring sinaran yang berbahaya di angkasa dan melaksanakan proses yang penting demi kelangsungan hidup manusia.

Yang lebih menariknya, atmosfera hanya membiarkan masuk sinar-sinar, gelombang-gelombang radio dan cahaya-cahaya yang tidak berbahaya kerana ia merupakan unsur-unsur yang sangat pentingbagi kehidupan. Hanya sebahagian Sinar ultraviolet, yang dibiarkan masuk oleh atmosfera, kerana ia sangat penting untuk fotosintesis tanaman dan untuk kelangsungan hidup semua makhluk hidup. Pancaran ini, yang dipancar dengan dengan sangat kuat dari matahari ke bumi, disaring melalui lapisan ozon atmosfera dan hanya sebahagian yang diperlukan sahaja yang tiba di bumi. Sinar matahari adalah salah satu keperluan hidup yang paling asas.

Ringkasnya terdapat suatu sistem hebat yang berfungsi di bumi yang merangkumi dan melindunginya dari bahaya luar. Di dalam al-Quran, keadaan bumi yang berperisai diungkapkan dengan ayat al-Quran yang bermaksud,

“Kami jadikan langit sebagai atap yang terjaga baik, tetapi mereka berpaling dari tanda-tanda yang ada.”
(Surah al-Anbiya’ 21: 32)

Subhanallah. moga bertambah iman dan syukur ke hadrat Ilahi atas nikmatnya yang tidak terhingga.

Sunday, July 25, 2010

Nikmatnya tidur : Tidak ramai yang mensyukurinya

Tidur. Nikmat anugerah Allah untuk kita yang tidak terhingga. Bayangkan jika satu hari sahaja kita tidak lena tidur.. apa akan jadi pada esok harinya???

Pasti semua keje yang dibuat tidak bersemangat dan serba tak kena. Namun sedarkah kita.. berapa ramai sangatla di antara kita yang bersyukur apabila bangun dari tidur yang lena..apatah lagi yang sudi membacakan doa tidur seusai bangun.

Maka, kali ini, saya bawakan tafsiran ayat tentang tidur adalah istirehat.
Firman Allah yang bermaksud:

Seterusnya seorang lagi tokoh yang mentafsirkan ayat-ayat al-Quran berdasarkan pendalilan saintifik iaitu

“Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat.”
(Surah al-Naba’ 78: 9)

Dr. ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni membahaskan 'tidur merupakan kerehatan' seperti yang tertulis dalam karangannya ‘Keagungan Allah'. Tidur adalah makhluk yang menakjubkan dan ianya merupakan saudara sekandung kematian. Tidur dapat menenangkan semua gerakan, merehatkan aqal, menyegarkan perut dan menyegarkan badan. Tidur adalah stesen bagi jasmani dan seluruh anggota badannya untuk berehat. Dengan tidur, maka semua kesulitan dan kerungsingan hidup dapat dihilangkan dan kemudian jasmani dapat bangun dalam keadaan yang kuat dan cergas. Apabila hati telah ditimpa oleh bermacam-macam kesibukan dan fikiran terbebani oleh berbagai perkara yang rumit, maka akan menimbulkan kekalutan dan tekanan, seperti stress sehingga untuk mengubatinya engkau harus tidur. Apabila engkau sedang mengalami stress, maka tidurlah.

Sepertimana firman-Nya bermaksud:

“(Ingatlah) ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu ketenteraman daripada-Nya…”
(Surah al-Anfal 8: 11)

Jadi sebagai makhluk, kamu adalah lemah dan memerlukan tidur. Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah, iaitu kalian pada waktu malam, pada saat itu Allah mengenggam roh-roh kalian dan menghentikan segala pergerakan kalian serta menghilangkan perasaan dan fikiran kalian, sehingga kalian menyedari bahawa kalian hanyalah makhluk yang akan binasa.

Oleh itu, bersyukurlah dengan tidur kita yang masih lena.. tiada siapa pun tahu bila nikmat lena itu akan ditarik.. jangan sampai bila tidur kita sudah tidak lena barula kita tahu rasa untuk mengungkit nikmat lama yang hilang.

Friday, July 16, 2010

Hikmah di sebalik kejadian kulit

Assalamualaikum.. Sambung lagi bicara kita tentang nikmat-nikmat Allah yang tidak terhingga ini. kali ini saya bawakan sahabat sekalian tentang nikmat kulit yang merasa. Semoga dengan tafsiran yang sedikit ini oleh al-Zindani, bermanfaat buat sahabat sekelian.

Al-Quran menceritakan bahawa pusat deria terletak pada kulit sebelum ia didedahkan oleh pakar anatomi. Sebelum ini, manusia menyangka bahawa keseluruhan tubuh adalah anggota deria dan tahap deria tersebut adalah sama pada setiap bahagian. Namun begitu, ilmu anatomi moden telah menjumpai fakta baru yang tidak diketahui sebelum ini iaitu pusat deria rasa bagi rasa sakit dan selainnya tertumpu dengan banyaknya pada kulit. Oleh itu, manusia hanya akan merasai sakit cucukan jarum jika ia dicucuk melalui kulit. Namun begitu, al-Quran telah menyebut fakta ini sebelum ia didedahkan oleh pakar penyelidikan perubatan pada kurun ke 20. Firman Allah yangbermaksud,

“Sesungguhnya orang yang kufur ingkar kepada keterangan ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka merasa azab sensara itu, dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, Lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Nisa’ 4: 56)

Maksudnya, deria yang merasai kesakitan dan keperitan berpusat pada kulit. Jadi, apabila kulit tersebut telah masak hangus, azab neraka akan kurang dirasai. Adakah Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai peralatan penyelidikan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain? Atau adakah ayat ini adalah antara ayat Allah yang membuktikan bahawa al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan berdasarkan ilmu-Nya.

Sahabat yang dirahmati sekelian..
Maha Agung Allah yang menjadikan kita dengan nikmat-nikmatnya yang tidak terhitung. Bersyukurla kita.

Thursday, December 17, 2009

hikmah kejadian angin

Maaf sahabat yang dirahmati sekelian.
Salam Maal Hijrah..
Sesuai sebagai muhasabah tahun baru ni saya cuba membawakan lebih banyak lagi nikmat-nikmat yang Allah kurniakan tapi kita sendiri tak nampak. Contohnya kejadian angin. Bayangkan sahabat sekelian kalau angin tiada di muka bumi ni. Apa akan jadi pada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Begitu juga jika angin menghembus tanpa had dan batas sempadannya. Pasti banyak musibahnya jika tiada rahmat Allah. Lalu dirakamkan Allah dalam kalamnya tentang angin dalam firman-Nya yang Agung bermaksud:

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan) hingga apabila angin itu membawa angin mendung, kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang) lalu kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian kami keluarkan hujan dengan awan itu, kemudian kami keluarkan dengan air hujan itu, berbagai=bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pengajaran darinya)."
Surah al-A'raf 7:57
Lihatlah hikmah dalam penciptaan angin, kadar dan kelajuannya adalah amat sesuai untuk membawa awan dan bebanannya tanpa merelai dan merosakkannya. Allah telah memberi pengajaran kepada kita dengan kedatangan beberapa ribut taufan dan angin puting beliungnya mencapai 75 batu sejam yang boleh merosakkan harta benda.
Sedangkan ia, jika mencapai kelajuan 200 batu sejam, maka, tidak akan ada sesuatu pun yang akan kekal di atas muka bumi ini, kerana pasti akan hancur. Ini adalah antara tanda rahmat Allah Taala ke atas kita.
Ketahuilah, jika angin setinggi lima batu sahaja di atas kepala kita. Ini kerana pada ketinggian melebihi lima batu dari paras laut, terdapat gelombang angin dengan kelajuan 200 batu sejam. Sekiranya ketinggian laluan angin ini, turun beberapa batu, segala kehidupan akan musnah. segala benda yang wujud di muka bumi ini akan musnah.
Subhanallah. Maha suci Allah yang Maha Mengasihani hambanya. Adakah setimpal syukur yang kita balas.... Allah.. banyak benar hutangnya kita pada=Mu.

Tuesday, October 20, 2009

Kepentingan Air Kepada Kehidupan

Sahabat yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian,

Hari ini kita berbincang pula tentang kepentingan air kepada kehidupan dalam al-Quran. Ayat ke-23 hinggalah ke-25 surah Abasa yang bermaksud

“Maka hendaklah manusia melihat (memerhatikan dengan berfikir) kepada mekanan yang dimakannya. Ia berlaku bila kami turunkan air dengan banyak serta menakjubkan.”

Ayat dari surah Abasa di atas ini memberitahu bahawa Allah s.w.t. telah menceritakan kepada kita, bagaimana Dia s.w.t. telah menyediakan rezeki kepada makhluk-makhluknya melalui pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang melata di atas muka bumi ini. Rezeki-rezeki tersebut dihantar oleh Allah s.w.t. dengan cara menurunkan hujan dari langit.

Air hujan yang turun dari langit ini akan menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan menghidupkan pokok-pokok yang lain dan seterusnya tumbuh-tumbuhan ini akan mengeluarkan buah dan biji-bijian yang sangat diperlukan. Ia menjadi makanan kepada manusia dan binatang. Tanpa air hidupan bernyawa tidak mungkin boleh meneruskan kehidupan mereka di atas muka bumi ini.

Kita melihat bagaimana Allah s.w.t. menurunkan rahmat-Nya dengan menjadikan awan-awan yang mengandungi air dan diturunkan ke bumi bila tiba waktunya. Air-air ini akan disimpan di tempat-tempat simpanan yang tersedia seperti takungan-takungan yang telah tersedia. Selepas itu, air-air di simpanan akan dialirkan melalui akar-akar pokok yang memerlukannya.

Dr Saleh bin Ismail (2008), Surah ar-Rahman: Tafsiran dan fakta-fakta Saintifik, Al-Hidayah Publication : Kuala Lumpur hlm 57

Monday, October 12, 2009

Proses Pengewapan Dalam Al-Quran

Assalamualaikum sahabat pembaca sekelian...
Seterusnya minggu ini kita akan berbincang tentang tafsir berasaskan pendalilan saintifik daripada buku Abdul Majid Aziz al-Zindani yang berjudul "Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains". Daripada kandungannya saya mengambil satu contoh yang dibawakan, yang mana pada saya ianya popular diperbincangkan dalam pelajaran sains hari ini. Namun sejauh mana seorang guru sekolah-sekolah di Malaysia pada hari ini cuba mengaitkan proses kitaran semula alam ini dengan dalil-dalil dari al-Quran.
Namun begitu sebenarnya saya tergolong dalam kalangan orang yang beruntung kerana telah dianugerahkan oleh Allah yang bernama cikgu Abdul Halim ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama al-Basriah Kuala Tembeling. Beliau guru sains yang berstandard 'ustaz'. Setiap pengajaran yang kami terima takkan lepas dari kata syukur dan perlu ada kaitan dengan pencipta yang Maha Agung.
Lalu hari ini saya cuba kongsikan.. mana la tau kalau-kalau ada guru sains yang terbaca moga selepas ini setiap pengajaran, Islam tidak pernah dipinggirkan. Setiap sesuatu pengajaran sepatutnya dikaitkan dengan tauladan dan pengajaran daripada kelebihan Islam. Lebih-lebih lagi sekiranya ia terkandung dalam kitab suci kita.
Hari ini kita berbincang tentang proses pengewapan. Menurut Abdul Majid Aziz al-Zindani awan ialah wap-wap air yang terapung di udara. Apabila berada dalam kuantiti yang banyak, ia akan membentuk air hujan. Kemudian air hujan akan turun ke bumi dan menjadi air telaga, air sungai, air mata air dan air di dalam tanah. Kita kemudiannya akan meminum air tersebut, mengairkan tanaman serta memberi minum kepada binatang ternakan.

Firman Allah yang bermaksud,

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit lalu dialirkan-Nya menjadi mata air di bumi, Kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya…”
(Surah al-Zumar 39: 21)

Maka, Allah menjadikan proses pembentukan awan dengan menjadikan matahari memancarkan kepanasannya. Lalu air laut bertukar menjadi wap-wap yang mengewap naik ke langit dalam bentuk wap air yang tawar dan bukan sebagai air masin. Namun begitu, wap-wap air ini tidak terus naik sehingga ke planet Marikh. Bukan tujuannya untuk dicurahkannya di sana. Tetapi tujuannya ialah supaya ia turun sebagai hujan ke atas hamba-hamba Allah di daratan dan seluruh kawasannya kerana ia amat diperlukan di sana. Oleh itu, Allah Taala menetapkan satu sistem yang menukar air laut menjadi air hujan dan diturunkan ke atas makhluknya.

Rujukan : Abdul Majid Aziz al-Zindani (2004), Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., h. 52-53.

Sunday, October 4, 2009

Sains membenarkan al-Quran : Bulan Tidak Mengeluarkan Cahaya

Assalamualaikum...
Maaf sahabat sekelian, kerana lama saya tidak menyambung penulisan blog ni. Hari ni saya dilapangkan sedikit oleh Allah untuk menyambung tajuk kita dulu yang lama dah terhenti. Tajuknya 'Tafsir menurut pendalilan saintifik'.
Di dalam al-Quran, matahari disebut sebagai objek yang mengeluarkan cahaya dan bulan bersinar kesan daripada cahaya matahari itu. Dalam surah al-Furqan ayat 61, maksudnya,

“Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang (buruj) dan menjadikan padanya siraaj dan bulan yang munir.”
(Surah al-Furqan : 61)

Hal yang sama ditekankan di dalam surah al-Naba’ ayat 13 yang bermaksud, “Dan kami yang jadikan siraajan wahhaja (iaitu matahari).”

Dalam surah Nuh ayat 15 hingga 16 pula, Allah berfirman yang bermaksud, “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat dan Allah menciptakan pada langit itu bulan sebagai nuur dan matahari sebagai siraaj.”

Ayat-ayat ini menjelaskan mengenai perbezaan antara matahari dan bulan dalam konteks cahaya yang dikeluarkan kedua-duanya. Mengikut al-Quran, matahari membakar dan dengan itu mengeluarkan cahaya sedangkan bulan hanya bersinar iaitu menerima dan memantulkan cahaya. Justeru Said Hawa di dalam al-Asas Fi al-Tafsir berkata, “Matahari mengeluarkan cahaya sedangkan bulan memantulkan cahaya …”

Kenyataan ini adalah selari dengan penemuan sains semasa kerana matahari adalah sebuah bintang sedangkan bulan adalah satelit. Seperti bintang-bintang yang lain, kestabilan matahari dan sinaran cahaya yang keluar daripadanya bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkannya. Tenaga ini terhasil melalui proses reaksi nuklear (nuclear fusion reactions) yang melibatkan hydrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalamnya. Proses ini berterusan berbilion-bilion tahun lamanya. Manakala bulan pula, sebagai satelit, tidak mengeluarkan cahaya sendiri.