Monday, October 12, 2009

Proses Pengewapan Dalam Al-Quran

Assalamualaikum sahabat pembaca sekelian...
Seterusnya minggu ini kita akan berbincang tentang tafsir berasaskan pendalilan saintifik daripada buku Abdul Majid Aziz al-Zindani yang berjudul "Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains". Daripada kandungannya saya mengambil satu contoh yang dibawakan, yang mana pada saya ianya popular diperbincangkan dalam pelajaran sains hari ini. Namun sejauh mana seorang guru sekolah-sekolah di Malaysia pada hari ini cuba mengaitkan proses kitaran semula alam ini dengan dalil-dalil dari al-Quran.
Namun begitu sebenarnya saya tergolong dalam kalangan orang yang beruntung kerana telah dianugerahkan oleh Allah yang bernama cikgu Abdul Halim ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama al-Basriah Kuala Tembeling. Beliau guru sains yang berstandard 'ustaz'. Setiap pengajaran yang kami terima takkan lepas dari kata syukur dan perlu ada kaitan dengan pencipta yang Maha Agung.
Lalu hari ini saya cuba kongsikan.. mana la tau kalau-kalau ada guru sains yang terbaca moga selepas ini setiap pengajaran, Islam tidak pernah dipinggirkan. Setiap sesuatu pengajaran sepatutnya dikaitkan dengan tauladan dan pengajaran daripada kelebihan Islam. Lebih-lebih lagi sekiranya ia terkandung dalam kitab suci kita.
Hari ini kita berbincang tentang proses pengewapan. Menurut Abdul Majid Aziz al-Zindani awan ialah wap-wap air yang terapung di udara. Apabila berada dalam kuantiti yang banyak, ia akan membentuk air hujan. Kemudian air hujan akan turun ke bumi dan menjadi air telaga, air sungai, air mata air dan air di dalam tanah. Kita kemudiannya akan meminum air tersebut, mengairkan tanaman serta memberi minum kepada binatang ternakan.

Firman Allah yang bermaksud,

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit lalu dialirkan-Nya menjadi mata air di bumi, Kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya…”
(Surah al-Zumar 39: 21)

Maka, Allah menjadikan proses pembentukan awan dengan menjadikan matahari memancarkan kepanasannya. Lalu air laut bertukar menjadi wap-wap yang mengewap naik ke langit dalam bentuk wap air yang tawar dan bukan sebagai air masin. Namun begitu, wap-wap air ini tidak terus naik sehingga ke planet Marikh. Bukan tujuannya untuk dicurahkannya di sana. Tetapi tujuannya ialah supaya ia turun sebagai hujan ke atas hamba-hamba Allah di daratan dan seluruh kawasannya kerana ia amat diperlukan di sana. Oleh itu, Allah Taala menetapkan satu sistem yang menukar air laut menjadi air hujan dan diturunkan ke atas makhluknya.

Rujukan : Abdul Majid Aziz al-Zindani (2004), Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., h. 52-53.

Sunday, October 4, 2009

Sains membenarkan al-Quran : Bulan Tidak Mengeluarkan Cahaya

Assalamualaikum...
Maaf sahabat sekelian, kerana lama saya tidak menyambung penulisan blog ni. Hari ni saya dilapangkan sedikit oleh Allah untuk menyambung tajuk kita dulu yang lama dah terhenti. Tajuknya 'Tafsir menurut pendalilan saintifik'.
Di dalam al-Quran, matahari disebut sebagai objek yang mengeluarkan cahaya dan bulan bersinar kesan daripada cahaya matahari itu. Dalam surah al-Furqan ayat 61, maksudnya,

“Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang (buruj) dan menjadikan padanya siraaj dan bulan yang munir.”
(Surah al-Furqan : 61)

Hal yang sama ditekankan di dalam surah al-Naba’ ayat 13 yang bermaksud, “Dan kami yang jadikan siraajan wahhaja (iaitu matahari).”

Dalam surah Nuh ayat 15 hingga 16 pula, Allah berfirman yang bermaksud, “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat dan Allah menciptakan pada langit itu bulan sebagai nuur dan matahari sebagai siraaj.”

Ayat-ayat ini menjelaskan mengenai perbezaan antara matahari dan bulan dalam konteks cahaya yang dikeluarkan kedua-duanya. Mengikut al-Quran, matahari membakar dan dengan itu mengeluarkan cahaya sedangkan bulan hanya bersinar iaitu menerima dan memantulkan cahaya. Justeru Said Hawa di dalam al-Asas Fi al-Tafsir berkata, “Matahari mengeluarkan cahaya sedangkan bulan memantulkan cahaya …”

Kenyataan ini adalah selari dengan penemuan sains semasa kerana matahari adalah sebuah bintang sedangkan bulan adalah satelit. Seperti bintang-bintang yang lain, kestabilan matahari dan sinaran cahaya yang keluar daripadanya bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkannya. Tenaga ini terhasil melalui proses reaksi nuklear (nuclear fusion reactions) yang melibatkan hydrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalamnya. Proses ini berterusan berbilion-bilion tahun lamanya. Manakala bulan pula, sebagai satelit, tidak mengeluarkan cahaya sendiri.

Monday, July 20, 2009

Bible Juga Mengakui Kedatangan Rasulullah s.a.w.

Berikut adalah petikan-petikan yang dikutip dari Kitab Injil yang menyebut tentang kedatangan Nabi Junjungan s.a.w.

1. Sabda Nabi Isa :

“Jika kamu kasih akan daku, kamu akan memeliharakan hukum-hukumku dan aku akan minta kepada Bapa supaya Ia beri kepada kamu Penghibur yang lain pula.”
(Yuhanna 14 : 15)


2. Sabdanya lagi :

“Tetapi aku mengatakan yang benar kepada kamu, bahawa berfaedahlah bagi kamu jika aku undur dari kamu, kerana jika aku tidak undur, Penghibur itu tidak akan datang kepada kamu.”
(Yuhanna 16 : 17)

Jelas daripada dua sabda Nabi Isa ini menyebut tentang ‘Penghibur’. Penghibur yang dimaksudkan ialah hamba Allah yang ditugaskan oleh Allah s.w.t. untuk membawa risalah kepada manusia yang perlukan petunjuk. Dengan itu, apabila Nabi Isa menyebut tentang Penghibur lain maka, ia bermaksud Pembawa Risalah selepasnya iaitu Muhammad s.a.w.

Berikut pula petikan-petikan yang dikutip dari Kitab Injil yang menyebut tentang sifat Rasulullah s.a.w.

1. Kenyataan Yuhanna 19 : 11:

“Aku lihat pula di langit terbuka, maka adalah kuda putih dan yang menunggang di dinamakan ‘Orang Kepercayaan dan Benar’ maka dengan keadilan ia memtuskan hukum serta berperang. Adapun matanya itu seperti api dan di kepalanya ada banyak mahkota.”

Kenyataan atau impian Yuhanna ini sesuai dengan sifat Nabi Muhammad s.a.w. kerana Baginda dinamakan ‘Amin’ (orang kepercayaan) dan ‘Siddiq’ (Benar) dan hukumnya adil dengan tidak memandang kanan atau kiri Nabi Muhammad berperang.[1]

2. Sabda Nabi Isa lagi ;

“Alangkah bahagianya zaman yang Rasul itu akan datang ke alamini. Percayalah kepadaku, aku telah lihat dia telah memajukan penghormatan, sebagimana tiap-tiap nabi sudah lihat dia, kerana Allah berikan kepada mereka rohnya sebagai kenabian. Di waktu aku lihat dia penuh kehiburanku dan aku berkata: ‘Ya Muhammad! Mudah-mudahan Allah besertamu dan hendaklah Ia jadikan daku orang yang layak membuka tali kasutmu, kerana kalau aku boleh dapat permintaanku itu, jadilah aku Nabi yang besar dan hamba Allah yang suci.” (Barnaba : 44 : 27-30)
[1] Riwayat Hidup Nabi Muhammad s.a.w. Muhammad Abdul Wahab

Taurat Telah lama Membenarkan Kedatangan Rasulullah

Penjelasan Taurat

Sabda Nabi Musa :

“Telah datang Tuhan dari Sinai dan ia terbit bagi orang-orang itu dari Sa’ir dan ia bersinar dari gunung Faran dan ia datang dengan ribuan dari orang-orang yang kudus dan di tangan kanannya ada syariat yang berapi. Ia sayang kaumnya.”
(Ulangan : 33: 2, 3)
Ulama’ telah menafsirkan ayat di atas seperti berikut :

“Tuhan datang dari Sinai” bermaksud, Nabi Musa telah datang dari Thursina (Sinai) dengan membawa agama Allah.
“Tuhan datang dari Sa’ir” bermaksud, Nabi Isa datang dari Gunung Sa’ir di Baitul Maqdis dengan membawa agama Allah.
“Tuhan datang dari Faran” pula bermaksud Nabi Muhammad datang dari Gunung Faran. Gunung Faran ialah nama Gunung yang terdapat di Mekah. Ada ulama’ berpendapat ‘Faran’ ialah nama lain bagi Mekah.

Tiada nabi yang dibangkitkan di Mekah selepas Nabi Isa melainkan Muhammad.

Firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa :

“Katakanlah kepada Bani Israel, bahawa Aku akan adakan bagi mereka di akhir zaman, seorang Nabi sepertimu dan saudara-saudara mereka dan Aku akan bubuh perkataanKu di mulutnya dan iapun akan berkata kepada mereka segala yang Aku hendak pesan kepada mereka.”
(Ulangan : 18 : 18)

Perkataan yang dibahaskan di sini ialah ‘Saudara’. Bani Israel mengangkat Nabi Ibrahim sebagai Bapa yang utama bagi Bangsa Israel. Oleh itu, Nabi Ishak digelar Bani Israel. Lalu saudara Bani Israel adalah Nabi Ismail. Maka, jelas di sini, Nabi Muhammad yang dimaksudkan kerana Nabi Muhammad adalah keturunan Nabi Muhammad.

Pengharaman Babi Nikmat Dari al-Quran

Isu kedua yang cuba dibawakan kali ini ialah tentang pengharaman babi. Walaupun secara dasarnya ramai di antara kita mengetahui babi mempunyai kuman, namun pengetahuan itu hanyalah pada asasnya sahaja. Tafsirnya menyentuh ayat ke 173 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi.” Berdasarkan ayat ini umat Islam diharamkan memakan daging babi dan segala produk-produknya secara mutlak, kecuali apabila darurat.

Babi menjadi punca pelbagai penyakit, antaranya adalah anthrax, ascaris suum, botulisme, brucella suis dan banyak lagi. Kemampuan babi menerima pelbagai jenis virus dan mengubahnya kepada bentuk baru yang lebih berbahaya memang membimbangkan ramai pakar. Sehubungan dengan ini Professor Malik Peiris, seorang pakar dalam bidang mikrobiologi di Universiti Hong Kong, berkata, “Jika anda mengambil virus daripada manusia dan memasukkannya ke dalam ayam ataupun burung, ia tidak akan membiak. Demikian juga jika anda memasukkan virus burung ke dalam manusia ia juga tidak akan merebak. Sebaliknya jika kedua-dua virus ini anda masukkan ke dalam babi, ia akan membiak dengan mudah sekali. Justeru lahirlah pandangan yang mengatakan bahawa babi adalah takungan kepada virus baru yang membunuh.
Buktinya virus H1N1. Walaupun asalnya beberapa saintis cuba menyangkal wabak ini datangnya daripada babi, namun akhirnya ia jelas dapat dibukti.
Subhanallah... kalaulah manusia itu berfikir dengan sedikit akalnya sahaja, pastilah akan dilihat betapa Allah menyayangi hambanya dengan sesungguh-sungguhnya.

Sunday, July 19, 2009

Kelebihan Susu Ibu : Al-Quran Telah Tunjukkan

Sebelum ni saya berjanji ingin membawakan tafsiran melalui saintifik. kini, saya baru sahaja berpeluang. apa yang dapat saya bawakan kali ini ialah persetujuan sains terhadap fakta al-Quran.
Sebagai umat Islam kita yakin dengan kebenaran al-Quran. walaupun bercanggah dengan fakta sains namun kita yakin al-Quran adalah kebenarannya. ini kerana sains sendiri berubah-ubah penemuannya dari zaman ke zaman. sedangkan al-Quran tetap tegak dan benar. kemungkinan ianya bercanggah dengan fakta pada hari ini tetapi esok kemungkinan akan sama.
Dengan sebab itulah kita melihat sudah banyak fakta sains yang akhirnya tunduk menyetujui fakta al-Quran. Pastinya bagi hamba-hambanya yang mengetahui akan kehebatan al-Quran ini akan bangga kerana bersumberkan kitab yang benar itu. Tetapi ketahuilah... berapa ramaikah sangat yang berbangga itu..?
Di dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud,

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi mereka yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah al-Baqarah 2: 233)

Islam menggalakkan supaya setiap bayi diberikan susu ibu sejak daripada hari pertama mereka dilahirkan. Banyak kajian membuktikan kelebihan kelebihan susu ibu berbanding susu formula. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi sejak ia dilahirkan kerana ia mempengaruhi pembentukan fizikal dan juga mental anak-anak. Menyusu bayi dengan susu ibu adalah langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Begitu agung Allah, sebaik sahaja bayi dilahirkan proses pengeluaran susu ibu juga bermula.

Kenyataan al-Quran ini (berkenaan penyusuan selama dua tahun) relevan dengan dunia moden pada hari ini. Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu dalam satu kenyataannya menegaskan, “Penemuan terkini menunjukkan pemberian susu ibu sepenuhnya selama enam bulan adalah cara pemakanan yang terbaik untuk bayi. Selepas itu bayi-bayi perlu diberikan makanan tambahan namun pemberian susu ibu itu mesti diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun ataupun lebih.

Allah Maha Besar

Wednesday, April 29, 2009

Hukum mentafsirkan al-Quran berdasarkan Fakta Sains

Ulama telah berselisih pendapat dalam mengharuskan pentafsiran al-Quran berasaskan pendalilan saintifik. Antara ulama yang mengharuskan ialah Ibnu Kathir, Syaikh Said Hawa dan Hamka. Petikan daripada pendapatnya dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim menyebutkan bahawa, “Ayat 47 dalam surah al-Zariyat, bermaksud,

“Dan langit kami bangun dengan kekuasaan kami dan sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya.” Bermaksud “Kami (Allah) meluaskan segenap penjuru (langit) dan Kami meninggikannya tanpa tiang.”
(Surah al-Zariyat : 47)

Dengan tafsiran ini, jelas sekali ayat ini ada perkaitan dengan pengembangan alam, maka tidak ada salahnya sekiranya kita memanfaatkan penemuan semasa yang relevan bagi membantu kefahaman.”

Sesetengah ulama yang mengharamkan kerana terdapat beberapa tafsiran yang terlalu ghairah dalam mentafsirkan al-Quran menggunakan pendekatan tafsiran melalui fakta saintifik. Alasan ini adalah disebabkan sesetengah ulama akan hanya berpandu kepada kejayaan daripada sains itu, barulah dikaitkan dengan tafsiran al-Quran. Oleh itu, amatlah membahayakan sekiranya ada ulama yang mentafsirkan al-Quran dengan fakta sains yang belum muktamad. Sedangkan semua orang maklum bahawa sains akan berubah dari masa ke semasa.

Kesimpulannya, tafsiran secara pendalilan saintifik ini diharuskan namun mestilah secara bersyarat. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

Pertama: Pentafsir yang hendak mentafsir ayat al-Quran perlulah tidak mengamalkan sikap ambil mudah dan ‘tangkap muat’ ke atas semua penemuan baru dalam sains seterusnya mengaitkan dengan ayat-ayat al-Quran tanpa merujuk kepada asbab nuzul mahupun pentafsiran-pentafsiran daripada ulama muktabar.

Kedua : Pentafsir juga perlulah berhati-hati mengkaji sejauhmana ketepatan fakta sains tersebut sebelum mengaitkan dengan ayat al-Quran. Tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada semua pentafsir yang terlibat dalam pentafsiran berasaskan pendalilan saintifik agar bersikap tidak gopoh untuk melibatkan semua ayat al-Quran dengan penemuan sains.

Ketiga : sekiranya keputusan daripada kajian sains bercanggah dengan ayat al-Quran, pentafsir perlulah jujur dalam menidakkan perkara tersebut. Ini kerana, keadaan keputusan kajian sains seringkali berubah-ubah, sedangkan al-Quran adalah kalam Allah yang Maha Benar lagi Maha Mengetahui. Fakta sains yang telah disepakati oleh ulama telah tetap dan boleh dikaitkan secara keseluruhannya dengan tafsir-tafsir ayat al-Quran dengan maklumat berkenaan sains.