Thursday, December 17, 2009

hikmah kejadian angin

Maaf sahabat yang dirahmati sekelian.
Salam Maal Hijrah..
Sesuai sebagai muhasabah tahun baru ni saya cuba membawakan lebih banyak lagi nikmat-nikmat yang Allah kurniakan tapi kita sendiri tak nampak. Contohnya kejadian angin. Bayangkan sahabat sekelian kalau angin tiada di muka bumi ni. Apa akan jadi pada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Begitu juga jika angin menghembus tanpa had dan batas sempadannya. Pasti banyak musibahnya jika tiada rahmat Allah. Lalu dirakamkan Allah dalam kalamnya tentang angin dalam firman-Nya yang Agung bermaksud:

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan) hingga apabila angin itu membawa angin mendung, kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang) lalu kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian kami keluarkan hujan dengan awan itu, kemudian kami keluarkan dengan air hujan itu, berbagai=bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pengajaran darinya)."
Surah al-A'raf 7:57
Lihatlah hikmah dalam penciptaan angin, kadar dan kelajuannya adalah amat sesuai untuk membawa awan dan bebanannya tanpa merelai dan merosakkannya. Allah telah memberi pengajaran kepada kita dengan kedatangan beberapa ribut taufan dan angin puting beliungnya mencapai 75 batu sejam yang boleh merosakkan harta benda.
Sedangkan ia, jika mencapai kelajuan 200 batu sejam, maka, tidak akan ada sesuatu pun yang akan kekal di atas muka bumi ini, kerana pasti akan hancur. Ini adalah antara tanda rahmat Allah Taala ke atas kita.
Ketahuilah, jika angin setinggi lima batu sahaja di atas kepala kita. Ini kerana pada ketinggian melebihi lima batu dari paras laut, terdapat gelombang angin dengan kelajuan 200 batu sejam. Sekiranya ketinggian laluan angin ini, turun beberapa batu, segala kehidupan akan musnah. segala benda yang wujud di muka bumi ini akan musnah.
Subhanallah. Maha suci Allah yang Maha Mengasihani hambanya. Adakah setimpal syukur yang kita balas.... Allah.. banyak benar hutangnya kita pada=Mu.

Tuesday, October 20, 2009

Kepentingan Air Kepada Kehidupan

Sahabat yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian,

Hari ini kita berbincang pula tentang kepentingan air kepada kehidupan dalam al-Quran. Ayat ke-23 hinggalah ke-25 surah Abasa yang bermaksud

“Maka hendaklah manusia melihat (memerhatikan dengan berfikir) kepada mekanan yang dimakannya. Ia berlaku bila kami turunkan air dengan banyak serta menakjubkan.”

Ayat dari surah Abasa di atas ini memberitahu bahawa Allah s.w.t. telah menceritakan kepada kita, bagaimana Dia s.w.t. telah menyediakan rezeki kepada makhluk-makhluknya melalui pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang melata di atas muka bumi ini. Rezeki-rezeki tersebut dihantar oleh Allah s.w.t. dengan cara menurunkan hujan dari langit.

Air hujan yang turun dari langit ini akan menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan menghidupkan pokok-pokok yang lain dan seterusnya tumbuh-tumbuhan ini akan mengeluarkan buah dan biji-bijian yang sangat diperlukan. Ia menjadi makanan kepada manusia dan binatang. Tanpa air hidupan bernyawa tidak mungkin boleh meneruskan kehidupan mereka di atas muka bumi ini.

Kita melihat bagaimana Allah s.w.t. menurunkan rahmat-Nya dengan menjadikan awan-awan yang mengandungi air dan diturunkan ke bumi bila tiba waktunya. Air-air ini akan disimpan di tempat-tempat simpanan yang tersedia seperti takungan-takungan yang telah tersedia. Selepas itu, air-air di simpanan akan dialirkan melalui akar-akar pokok yang memerlukannya.

Dr Saleh bin Ismail (2008), Surah ar-Rahman: Tafsiran dan fakta-fakta Saintifik, Al-Hidayah Publication : Kuala Lumpur hlm 57

Monday, October 12, 2009

Proses Pengewapan Dalam Al-Quran

Assalamualaikum sahabat pembaca sekelian...
Seterusnya minggu ini kita akan berbincang tentang tafsir berasaskan pendalilan saintifik daripada buku Abdul Majid Aziz al-Zindani yang berjudul "Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains". Daripada kandungannya saya mengambil satu contoh yang dibawakan, yang mana pada saya ianya popular diperbincangkan dalam pelajaran sains hari ini. Namun sejauh mana seorang guru sekolah-sekolah di Malaysia pada hari ini cuba mengaitkan proses kitaran semula alam ini dengan dalil-dalil dari al-Quran.
Namun begitu sebenarnya saya tergolong dalam kalangan orang yang beruntung kerana telah dianugerahkan oleh Allah yang bernama cikgu Abdul Halim ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama al-Basriah Kuala Tembeling. Beliau guru sains yang berstandard 'ustaz'. Setiap pengajaran yang kami terima takkan lepas dari kata syukur dan perlu ada kaitan dengan pencipta yang Maha Agung.
Lalu hari ini saya cuba kongsikan.. mana la tau kalau-kalau ada guru sains yang terbaca moga selepas ini setiap pengajaran, Islam tidak pernah dipinggirkan. Setiap sesuatu pengajaran sepatutnya dikaitkan dengan tauladan dan pengajaran daripada kelebihan Islam. Lebih-lebih lagi sekiranya ia terkandung dalam kitab suci kita.
Hari ini kita berbincang tentang proses pengewapan. Menurut Abdul Majid Aziz al-Zindani awan ialah wap-wap air yang terapung di udara. Apabila berada dalam kuantiti yang banyak, ia akan membentuk air hujan. Kemudian air hujan akan turun ke bumi dan menjadi air telaga, air sungai, air mata air dan air di dalam tanah. Kita kemudiannya akan meminum air tersebut, mengairkan tanaman serta memberi minum kepada binatang ternakan.

Firman Allah yang bermaksud,

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit lalu dialirkan-Nya menjadi mata air di bumi, Kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya…”
(Surah al-Zumar 39: 21)

Maka, Allah menjadikan proses pembentukan awan dengan menjadikan matahari memancarkan kepanasannya. Lalu air laut bertukar menjadi wap-wap yang mengewap naik ke langit dalam bentuk wap air yang tawar dan bukan sebagai air masin. Namun begitu, wap-wap air ini tidak terus naik sehingga ke planet Marikh. Bukan tujuannya untuk dicurahkannya di sana. Tetapi tujuannya ialah supaya ia turun sebagai hujan ke atas hamba-hamba Allah di daratan dan seluruh kawasannya kerana ia amat diperlukan di sana. Oleh itu, Allah Taala menetapkan satu sistem yang menukar air laut menjadi air hujan dan diturunkan ke atas makhluknya.

Rujukan : Abdul Majid Aziz al-Zindani (2004), Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., h. 52-53.

Sunday, October 4, 2009

Sains membenarkan al-Quran : Bulan Tidak Mengeluarkan Cahaya

Assalamualaikum...
Maaf sahabat sekelian, kerana lama saya tidak menyambung penulisan blog ni. Hari ni saya dilapangkan sedikit oleh Allah untuk menyambung tajuk kita dulu yang lama dah terhenti. Tajuknya 'Tafsir menurut pendalilan saintifik'.
Di dalam al-Quran, matahari disebut sebagai objek yang mengeluarkan cahaya dan bulan bersinar kesan daripada cahaya matahari itu. Dalam surah al-Furqan ayat 61, maksudnya,

“Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang (buruj) dan menjadikan padanya siraaj dan bulan yang munir.”
(Surah al-Furqan : 61)

Hal yang sama ditekankan di dalam surah al-Naba’ ayat 13 yang bermaksud, “Dan kami yang jadikan siraajan wahhaja (iaitu matahari).”

Dalam surah Nuh ayat 15 hingga 16 pula, Allah berfirman yang bermaksud, “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat dan Allah menciptakan pada langit itu bulan sebagai nuur dan matahari sebagai siraaj.”

Ayat-ayat ini menjelaskan mengenai perbezaan antara matahari dan bulan dalam konteks cahaya yang dikeluarkan kedua-duanya. Mengikut al-Quran, matahari membakar dan dengan itu mengeluarkan cahaya sedangkan bulan hanya bersinar iaitu menerima dan memantulkan cahaya. Justeru Said Hawa di dalam al-Asas Fi al-Tafsir berkata, “Matahari mengeluarkan cahaya sedangkan bulan memantulkan cahaya …”

Kenyataan ini adalah selari dengan penemuan sains semasa kerana matahari adalah sebuah bintang sedangkan bulan adalah satelit. Seperti bintang-bintang yang lain, kestabilan matahari dan sinaran cahaya yang keluar daripadanya bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkannya. Tenaga ini terhasil melalui proses reaksi nuklear (nuclear fusion reactions) yang melibatkan hydrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalamnya. Proses ini berterusan berbilion-bilion tahun lamanya. Manakala bulan pula, sebagai satelit, tidak mengeluarkan cahaya sendiri.

Monday, July 20, 2009

Bible Juga Mengakui Kedatangan Rasulullah s.a.w.

Berikut adalah petikan-petikan yang dikutip dari Kitab Injil yang menyebut tentang kedatangan Nabi Junjungan s.a.w.

1. Sabda Nabi Isa :

“Jika kamu kasih akan daku, kamu akan memeliharakan hukum-hukumku dan aku akan minta kepada Bapa supaya Ia beri kepada kamu Penghibur yang lain pula.”
(Yuhanna 14 : 15)


2. Sabdanya lagi :

“Tetapi aku mengatakan yang benar kepada kamu, bahawa berfaedahlah bagi kamu jika aku undur dari kamu, kerana jika aku tidak undur, Penghibur itu tidak akan datang kepada kamu.”
(Yuhanna 16 : 17)

Jelas daripada dua sabda Nabi Isa ini menyebut tentang ‘Penghibur’. Penghibur yang dimaksudkan ialah hamba Allah yang ditugaskan oleh Allah s.w.t. untuk membawa risalah kepada manusia yang perlukan petunjuk. Dengan itu, apabila Nabi Isa menyebut tentang Penghibur lain maka, ia bermaksud Pembawa Risalah selepasnya iaitu Muhammad s.a.w.

Berikut pula petikan-petikan yang dikutip dari Kitab Injil yang menyebut tentang sifat Rasulullah s.a.w.

1. Kenyataan Yuhanna 19 : 11:

“Aku lihat pula di langit terbuka, maka adalah kuda putih dan yang menunggang di dinamakan ‘Orang Kepercayaan dan Benar’ maka dengan keadilan ia memtuskan hukum serta berperang. Adapun matanya itu seperti api dan di kepalanya ada banyak mahkota.”

Kenyataan atau impian Yuhanna ini sesuai dengan sifat Nabi Muhammad s.a.w. kerana Baginda dinamakan ‘Amin’ (orang kepercayaan) dan ‘Siddiq’ (Benar) dan hukumnya adil dengan tidak memandang kanan atau kiri Nabi Muhammad berperang.[1]

2. Sabda Nabi Isa lagi ;

“Alangkah bahagianya zaman yang Rasul itu akan datang ke alamini. Percayalah kepadaku, aku telah lihat dia telah memajukan penghormatan, sebagimana tiap-tiap nabi sudah lihat dia, kerana Allah berikan kepada mereka rohnya sebagai kenabian. Di waktu aku lihat dia penuh kehiburanku dan aku berkata: ‘Ya Muhammad! Mudah-mudahan Allah besertamu dan hendaklah Ia jadikan daku orang yang layak membuka tali kasutmu, kerana kalau aku boleh dapat permintaanku itu, jadilah aku Nabi yang besar dan hamba Allah yang suci.” (Barnaba : 44 : 27-30)
[1] Riwayat Hidup Nabi Muhammad s.a.w. Muhammad Abdul Wahab

Taurat Telah lama Membenarkan Kedatangan Rasulullah

Penjelasan Taurat

Sabda Nabi Musa :

“Telah datang Tuhan dari Sinai dan ia terbit bagi orang-orang itu dari Sa’ir dan ia bersinar dari gunung Faran dan ia datang dengan ribuan dari orang-orang yang kudus dan di tangan kanannya ada syariat yang berapi. Ia sayang kaumnya.”
(Ulangan : 33: 2, 3)
Ulama’ telah menafsirkan ayat di atas seperti berikut :

“Tuhan datang dari Sinai” bermaksud, Nabi Musa telah datang dari Thursina (Sinai) dengan membawa agama Allah.
“Tuhan datang dari Sa’ir” bermaksud, Nabi Isa datang dari Gunung Sa’ir di Baitul Maqdis dengan membawa agama Allah.
“Tuhan datang dari Faran” pula bermaksud Nabi Muhammad datang dari Gunung Faran. Gunung Faran ialah nama Gunung yang terdapat di Mekah. Ada ulama’ berpendapat ‘Faran’ ialah nama lain bagi Mekah.

Tiada nabi yang dibangkitkan di Mekah selepas Nabi Isa melainkan Muhammad.

Firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa :

“Katakanlah kepada Bani Israel, bahawa Aku akan adakan bagi mereka di akhir zaman, seorang Nabi sepertimu dan saudara-saudara mereka dan Aku akan bubuh perkataanKu di mulutnya dan iapun akan berkata kepada mereka segala yang Aku hendak pesan kepada mereka.”
(Ulangan : 18 : 18)

Perkataan yang dibahaskan di sini ialah ‘Saudara’. Bani Israel mengangkat Nabi Ibrahim sebagai Bapa yang utama bagi Bangsa Israel. Oleh itu, Nabi Ishak digelar Bani Israel. Lalu saudara Bani Israel adalah Nabi Ismail. Maka, jelas di sini, Nabi Muhammad yang dimaksudkan kerana Nabi Muhammad adalah keturunan Nabi Muhammad.

Pengharaman Babi Nikmat Dari al-Quran

Isu kedua yang cuba dibawakan kali ini ialah tentang pengharaman babi. Walaupun secara dasarnya ramai di antara kita mengetahui babi mempunyai kuman, namun pengetahuan itu hanyalah pada asasnya sahaja. Tafsirnya menyentuh ayat ke 173 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi.” Berdasarkan ayat ini umat Islam diharamkan memakan daging babi dan segala produk-produknya secara mutlak, kecuali apabila darurat.

Babi menjadi punca pelbagai penyakit, antaranya adalah anthrax, ascaris suum, botulisme, brucella suis dan banyak lagi. Kemampuan babi menerima pelbagai jenis virus dan mengubahnya kepada bentuk baru yang lebih berbahaya memang membimbangkan ramai pakar. Sehubungan dengan ini Professor Malik Peiris, seorang pakar dalam bidang mikrobiologi di Universiti Hong Kong, berkata, “Jika anda mengambil virus daripada manusia dan memasukkannya ke dalam ayam ataupun burung, ia tidak akan membiak. Demikian juga jika anda memasukkan virus burung ke dalam manusia ia juga tidak akan merebak. Sebaliknya jika kedua-dua virus ini anda masukkan ke dalam babi, ia akan membiak dengan mudah sekali. Justeru lahirlah pandangan yang mengatakan bahawa babi adalah takungan kepada virus baru yang membunuh.
Buktinya virus H1N1. Walaupun asalnya beberapa saintis cuba menyangkal wabak ini datangnya daripada babi, namun akhirnya ia jelas dapat dibukti.
Subhanallah... kalaulah manusia itu berfikir dengan sedikit akalnya sahaja, pastilah akan dilihat betapa Allah menyayangi hambanya dengan sesungguh-sungguhnya.