Tuesday, October 20, 2009

Kepentingan Air Kepada Kehidupan

Sahabat yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian,

Hari ini kita berbincang pula tentang kepentingan air kepada kehidupan dalam al-Quran. Ayat ke-23 hinggalah ke-25 surah Abasa yang bermaksud

“Maka hendaklah manusia melihat (memerhatikan dengan berfikir) kepada mekanan yang dimakannya. Ia berlaku bila kami turunkan air dengan banyak serta menakjubkan.”

Ayat dari surah Abasa di atas ini memberitahu bahawa Allah s.w.t. telah menceritakan kepada kita, bagaimana Dia s.w.t. telah menyediakan rezeki kepada makhluk-makhluknya melalui pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang melata di atas muka bumi ini. Rezeki-rezeki tersebut dihantar oleh Allah s.w.t. dengan cara menurunkan hujan dari langit.

Air hujan yang turun dari langit ini akan menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan menghidupkan pokok-pokok yang lain dan seterusnya tumbuh-tumbuhan ini akan mengeluarkan buah dan biji-bijian yang sangat diperlukan. Ia menjadi makanan kepada manusia dan binatang. Tanpa air hidupan bernyawa tidak mungkin boleh meneruskan kehidupan mereka di atas muka bumi ini.

Kita melihat bagaimana Allah s.w.t. menurunkan rahmat-Nya dengan menjadikan awan-awan yang mengandungi air dan diturunkan ke bumi bila tiba waktunya. Air-air ini akan disimpan di tempat-tempat simpanan yang tersedia seperti takungan-takungan yang telah tersedia. Selepas itu, air-air di simpanan akan dialirkan melalui akar-akar pokok yang memerlukannya.

Dr Saleh bin Ismail (2008), Surah ar-Rahman: Tafsiran dan fakta-fakta Saintifik, Al-Hidayah Publication : Kuala Lumpur hlm 57

Monday, October 12, 2009

Proses Pengewapan Dalam Al-Quran

Assalamualaikum sahabat pembaca sekelian...
Seterusnya minggu ini kita akan berbincang tentang tafsir berasaskan pendalilan saintifik daripada buku Abdul Majid Aziz al-Zindani yang berjudul "Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains". Daripada kandungannya saya mengambil satu contoh yang dibawakan, yang mana pada saya ianya popular diperbincangkan dalam pelajaran sains hari ini. Namun sejauh mana seorang guru sekolah-sekolah di Malaysia pada hari ini cuba mengaitkan proses kitaran semula alam ini dengan dalil-dalil dari al-Quran.
Namun begitu sebenarnya saya tergolong dalam kalangan orang yang beruntung kerana telah dianugerahkan oleh Allah yang bernama cikgu Abdul Halim ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama al-Basriah Kuala Tembeling. Beliau guru sains yang berstandard 'ustaz'. Setiap pengajaran yang kami terima takkan lepas dari kata syukur dan perlu ada kaitan dengan pencipta yang Maha Agung.
Lalu hari ini saya cuba kongsikan.. mana la tau kalau-kalau ada guru sains yang terbaca moga selepas ini setiap pengajaran, Islam tidak pernah dipinggirkan. Setiap sesuatu pengajaran sepatutnya dikaitkan dengan tauladan dan pengajaran daripada kelebihan Islam. Lebih-lebih lagi sekiranya ia terkandung dalam kitab suci kita.
Hari ini kita berbincang tentang proses pengewapan. Menurut Abdul Majid Aziz al-Zindani awan ialah wap-wap air yang terapung di udara. Apabila berada dalam kuantiti yang banyak, ia akan membentuk air hujan. Kemudian air hujan akan turun ke bumi dan menjadi air telaga, air sungai, air mata air dan air di dalam tanah. Kita kemudiannya akan meminum air tersebut, mengairkan tanaman serta memberi minum kepada binatang ternakan.

Firman Allah yang bermaksud,

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit lalu dialirkan-Nya menjadi mata air di bumi, Kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya…”
(Surah al-Zumar 39: 21)

Maka, Allah menjadikan proses pembentukan awan dengan menjadikan matahari memancarkan kepanasannya. Lalu air laut bertukar menjadi wap-wap yang mengewap naik ke langit dalam bentuk wap air yang tawar dan bukan sebagai air masin. Namun begitu, wap-wap air ini tidak terus naik sehingga ke planet Marikh. Bukan tujuannya untuk dicurahkannya di sana. Tetapi tujuannya ialah supaya ia turun sebagai hujan ke atas hamba-hamba Allah di daratan dan seluruh kawasannya kerana ia amat diperlukan di sana. Oleh itu, Allah Taala menetapkan satu sistem yang menukar air laut menjadi air hujan dan diturunkan ke atas makhluknya.

Rujukan : Abdul Majid Aziz al-Zindani (2004), Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., h. 52-53.

Sunday, October 4, 2009

Sains membenarkan al-Quran : Bulan Tidak Mengeluarkan Cahaya

Assalamualaikum...
Maaf sahabat sekelian, kerana lama saya tidak menyambung penulisan blog ni. Hari ni saya dilapangkan sedikit oleh Allah untuk menyambung tajuk kita dulu yang lama dah terhenti. Tajuknya 'Tafsir menurut pendalilan saintifik'.
Di dalam al-Quran, matahari disebut sebagai objek yang mengeluarkan cahaya dan bulan bersinar kesan daripada cahaya matahari itu. Dalam surah al-Furqan ayat 61, maksudnya,

“Maha suci Allah yang menjadikan di langit gugusan bintang (buruj) dan menjadikan padanya siraaj dan bulan yang munir.”
(Surah al-Furqan : 61)

Hal yang sama ditekankan di dalam surah al-Naba’ ayat 13 yang bermaksud, “Dan kami yang jadikan siraajan wahhaja (iaitu matahari).”

Dalam surah Nuh ayat 15 hingga 16 pula, Allah berfirman yang bermaksud, “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat dan Allah menciptakan pada langit itu bulan sebagai nuur dan matahari sebagai siraaj.”

Ayat-ayat ini menjelaskan mengenai perbezaan antara matahari dan bulan dalam konteks cahaya yang dikeluarkan kedua-duanya. Mengikut al-Quran, matahari membakar dan dengan itu mengeluarkan cahaya sedangkan bulan hanya bersinar iaitu menerima dan memantulkan cahaya. Justeru Said Hawa di dalam al-Asas Fi al-Tafsir berkata, “Matahari mengeluarkan cahaya sedangkan bulan memantulkan cahaya …”

Kenyataan ini adalah selari dengan penemuan sains semasa kerana matahari adalah sebuah bintang sedangkan bulan adalah satelit. Seperti bintang-bintang yang lain, kestabilan matahari dan sinaran cahaya yang keluar daripadanya bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkannya. Tenaga ini terhasil melalui proses reaksi nuklear (nuclear fusion reactions) yang melibatkan hydrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalamnya. Proses ini berterusan berbilion-bilion tahun lamanya. Manakala bulan pula, sebagai satelit, tidak mengeluarkan cahaya sendiri.