Wednesday, April 29, 2009

Hukum mentafsirkan al-Quran berdasarkan Fakta Sains

Ulama telah berselisih pendapat dalam mengharuskan pentafsiran al-Quran berasaskan pendalilan saintifik. Antara ulama yang mengharuskan ialah Ibnu Kathir, Syaikh Said Hawa dan Hamka. Petikan daripada pendapatnya dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim menyebutkan bahawa, “Ayat 47 dalam surah al-Zariyat, bermaksud,

“Dan langit kami bangun dengan kekuasaan kami dan sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya.” Bermaksud “Kami (Allah) meluaskan segenap penjuru (langit) dan Kami meninggikannya tanpa tiang.”
(Surah al-Zariyat : 47)

Dengan tafsiran ini, jelas sekali ayat ini ada perkaitan dengan pengembangan alam, maka tidak ada salahnya sekiranya kita memanfaatkan penemuan semasa yang relevan bagi membantu kefahaman.”

Sesetengah ulama yang mengharamkan kerana terdapat beberapa tafsiran yang terlalu ghairah dalam mentafsirkan al-Quran menggunakan pendekatan tafsiran melalui fakta saintifik. Alasan ini adalah disebabkan sesetengah ulama akan hanya berpandu kepada kejayaan daripada sains itu, barulah dikaitkan dengan tafsiran al-Quran. Oleh itu, amatlah membahayakan sekiranya ada ulama yang mentafsirkan al-Quran dengan fakta sains yang belum muktamad. Sedangkan semua orang maklum bahawa sains akan berubah dari masa ke semasa.

Kesimpulannya, tafsiran secara pendalilan saintifik ini diharuskan namun mestilah secara bersyarat. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

Pertama: Pentafsir yang hendak mentafsir ayat al-Quran perlulah tidak mengamalkan sikap ambil mudah dan ‘tangkap muat’ ke atas semua penemuan baru dalam sains seterusnya mengaitkan dengan ayat-ayat al-Quran tanpa merujuk kepada asbab nuzul mahupun pentafsiran-pentafsiran daripada ulama muktabar.

Kedua : Pentafsir juga perlulah berhati-hati mengkaji sejauhmana ketepatan fakta sains tersebut sebelum mengaitkan dengan ayat al-Quran. Tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada semua pentafsir yang terlibat dalam pentafsiran berasaskan pendalilan saintifik agar bersikap tidak gopoh untuk melibatkan semua ayat al-Quran dengan penemuan sains.

Ketiga : sekiranya keputusan daripada kajian sains bercanggah dengan ayat al-Quran, pentafsir perlulah jujur dalam menidakkan perkara tersebut. Ini kerana, keadaan keputusan kajian sains seringkali berubah-ubah, sedangkan al-Quran adalah kalam Allah yang Maha Benar lagi Maha Mengetahui. Fakta sains yang telah disepakati oleh ulama telah tetap dan boleh dikaitkan secara keseluruhannya dengan tafsir-tafsir ayat al-Quran dengan maklumat berkenaan sains.

Sahabat Pembaca Yang Dirahmati Allah Sekalian

Mulai hari ni, saya cuba untuk kemukakan beberapa tafsir al-Quran yang berasaskan pendalilah saintifik..
jadi..kalau sahabat pun ada terbaca atau terjumpa bagitau la.. kita cari sama.. kay..

tapi sebelum tu baca dulu hukum mentafsir al-Quran secara saintifik ni.. boleh ke tidak?


Selamat Membaca

Monday, April 6, 2009

Bible : Berjaya diselewengkan, al-Quran : Tidak Sama Sekali

Orientalis tidak bersetuju apabila kita mempertahankan al-Quran itu sebagai kalam Allah yang terpelihara daripada pemalsuan, penambahan dan pengurangan serta penyelewengan dalam isi kandungannya. Kekecewaan itu ditambah lagi kerana kitab Bible yang mereka pegang itu mengandungi masalah-masalah tersebut. Justeru, tuduhan terhadap al-Quran ini dicipta agar al-Quran dijatuhkan dan dipulau sebagai rujukan dalam perbahasan akidah dan ilmu.

Tahun 1927 mencatatkan Paderi Kristian, Mingana, berasal daripada Iraq, pensyarah di Universiti Birmingham Inggeris, berkata dalam ucapannya , “The time has surely come to subject the text of the Koran to the same criticism as that to which we subject the Hebrew and Aramaic of the Jewish Bible, and the Greek of the Christian scriptures.”

”Sudah tiba masanya sekarang untuk melakukan, mengkritik terhadap teks al-Quran sebagaimana yang telah kita lakukan kepada kitab suci Yahudi yang berbahasa Ibrani dan Kitab suci Kristian yang berbahasa Yunani.

Metodologi tafsir Bible yang membenarkan kebebasan dalam mentafsir menjadikan mereka begitu yakin bahawa kitab boleh diubah dengan tangan mereka. Oleh itu Metodologi Hermeneutik yang digunakan untuk mentafsir dan menghurai ayat Bible dengan sewenangnya cuba pula diterapkan kepada al-Quran. Kaedah yang berjaya ini memeningkan paderi-paderi Kristian kerana terlalu dilimpahi dengan pelbagai hukum dan metode dalam satu perkara sekaligus.

Buktinya terjadi kepada St.Jerome, seorang rahib Katolik Rom, pelajar bahagian theologi Kristian mengeluh dalam katanya, “wrote down not what they find but what they think is the meaning; and while they attempt to rectify the errors of others, they merely expose their own." Keluhannya berisi soal banyaknya penulis Bible yang menulis apa yang tidak pernah ditemukan sama, tetapi menulis apa yang mereka fikirkan itulah maksudnya. Selagi mereka mencuba melihat kesalahan orang lain, mereka hanya mengungkapkan untuk dirinya sendiri.

Kecewa dengan kenyataan seperti itu, R. Bentley, Master of Trinity College pada tahun 1720 menyeru umat Kristian agar mencampakkan kitab suci mereka, yakni naskah Perjanjian Baru versi Paus Clement 1592 ”…the ‘textus receptus’ to be abandoned altogether”!

Telah berjaya golongan orientalis ini sehingga menghilangkan keyakinan umat Kristian kepada agamanya. Lantas, pada sangkaan mereka, menggunakan kaedah yang sama, boleh membantu mereka mengubah segala dasar yang ditetapkan oleh al-Quran.

Lalu pada tahun 1937 muncul Arthur Jeffery yang ingin membuat penilaian dan perubahan terhadap al-Mushaf al-Uthmani dan membuat mushaf baru. Orientalis asal Australia yang pernah mengajar di American University, Kaherah dan menjadi guru besar di Columbia University ini, konon ingin membuat perubahan teks al-Quran berdasarkan Kitab al-Masahif karya Ibn Abi Dawuud as-Sijistaani yang dianggap mengandungi bacaan-bacaan dalam mushaf tandingan (yang ia istilahkan dengan ‘rival codices’) Jeffery bermaksud meneruskan usaha ini.

Gotthelf Bergstraesser dan Otto Pretzl yang pernah bekerja keras mengumpulkan foto lembaran-lembaran (manuskrip) al-Quran dengan tujuan membuat edisi kritis al-Quran (tetapi gagal kerana semua simpanannya di Munich musnah saat Perang Dunia ke-II berkecamuk).

Bagi para orientalis ini, ‘isnaad’ tidak penting kerana itu, riwayat yang ’shaadh’ boleh saja dianggap ’sahih’, yang ‘ahaad’ dan ‘ghariib’ boleh saja menjadi ‘mutawaatir’ dan ‘masyhur’ dan yang cacat disamakan dengan yang sempurna. Yang demikian itu merupakan teknik dan strategi utama mereka membalik-balikkan kriteria dan nilai. Maka yang digembar-gemburkan adalah isu nasikh-mansukh, soal adanya surat tambahan versi kaum Syi’ah, isu “Gharaaniq” dan sebagainya. Ada pula yang mahu merombak susunan ayat dan surah al-Quran secara kronologis, mahu mengubah bahasa al-Quran ataupun ingin merubah tuntutan ayat-ayat tertentu.

Namun, usaha yang keras itu, tidak berjaya sehingga mereka berputus asa dan terpanggil untuk cuba menukar taktik yang terbengkalai itu. Antara usaha yang dipilih oleh Minggana adalah dengan memomokkan al-Quran sebagai kalam Muhammad s.a.w., syair buatan manusia dan penafian bahawa al-Quran kalam Allah s.w.t.

Mengenal Si Pendusta al-Quran

Sekiranya pihak orientalis bersusah payah, berusaha keras mencari ilmu, menambah pengetahuan dengan tujuan menyerang Islam, maka wajar juga bagi kita untuk mengenal dan mengkaji strategi mereka. Tujuannya adalah bagi mempertahankan Islam, membatalkan misi yang hampir berjaya ini dan sebagai penunjuk jalan untuk mereka kembali kepada kebenaran. Bagi mengenal mereka, perlulah kita menyusur di dalam sirah, melihat bahawa golongan yang sering membuat tuduhan-tuduhan tersebut kembali kepada dua golongan utama. Golongan pertama dinamakan Musyrikin, manakala yang kedua pula ialah Muslim yang tewas kerana terpedaya.

Golongan Pertama iaitu Musyrikin adalah kesatuan golongan kufar dalam menentang Islam. Syariat Islam yang tegas dan mementingkan hak semua bangsa dan umat amat digeruni oleh musuh Islam. Syariat ini membataskan mereka membuat perkara-perkara yang merosakkan jiwa bagi memuaskan nafsu dunia yang tidak berkesudahan. Oleh itu muncullah golongan seperti Orientalis, Kristianisasi dan Atheis serta pemimpin negara yang memberi sokongan terhadap usaha untuk membuat kekacauan ini.

Golongan yang terbesar dalam menyumbang kepada kekacauan ini ialah golongan Orientalis. Golongan ini bukan sahaja bertindak dengan misi sendiri malahan menguasai dunia di sekelilingnya. Kristianisasi biarpun nampak kukuh di bawah pimpinan dan kekuasaan gereja hakikatnya tunduk dengan mereka. Segala perancangan yang diatur oleh barisan Kristian, terlebih dahulu disahkan oleh golongan yang menamakan diri mereka sebagai ilmuan Barat iaitu sebahagiannya dipelopori oleh puak Yahudi ini.

Orientalisme boleh didefinisikan sebagai pengkajian masalah-masalah ketimuran. Istilah orient ini sebenarnya berasal daripada bahasa Perancis yang membawa makna timur atau bersifat ketimuran. Isme pula bermaksud ajaran, fahaman, sikap dan cita-cita. Pembahagian di dalamnya pula dikenal melalui bidang yang dijuruskan. Sebagai contoh keahlian mengikut kajian di bahagian wilayah timur, metodologi dalam mempelajari masalah ketimuran dan ideologi terhadap masalah ketimuran itu, khususnya dunia Islam. Kandungan pengkajian termasuklah sastera, agama, sejarah, adat istiadat dan ilmu-ilmu mengenai kawasan timur.

Golongan kedua pula ialah tentera halus orientalis iaitu Muslim yang tewas kerana terpedaya. Perbincangan mengenai barat dijadikan kiblat ilmu masa kini sudah lama diakui dan diiktiraf di mata dunia. Barat kini menjadi tempat simpanan segala khazanah ilmu. Semua rujukan dalam perkara apa sekali pun boleh diambil daripada barat. Pelajar-pelajar yang beragama Islam digalakkan mendalami ilmu dan memetik hasil pemikiran Islam di barat biarpun tanah Arab itu tempat benihnya ditanam.

Lalu, muncullah golongan yang mendokong atas nama orientalis yang bertopengkan perjuangan Islam. Pemikiran-pemikiran yang menolak wahyu dan sunah, mengtafsir al-Quran mengikut logik akal dan membebaskan ketetapan-ketepatan Islam mengikut semahunya serta memperjuangkan hak kononnya atas dasar keadilan. Islam Liberal, Anti Hadith, Sisters in Islam dan banyak lagi antara tentera orientalis yang dihantar khusus tanpa bayaran untuk menunaikan misi mereka menghancurkan Islam. Puak kuffar hampir berjaya, namun kuasa Allah s.w.t. menandingi segalanya. Kebenaran tetap tersingkap kerana janji Allah untuk memelihara al-Quran sudah terpatri di kalam-Nya sendiri.

Keutuhan al-Quran Menangkis Tuduhan

Kedudukan al-Quran bagi masyarakat Islam terletak di bahagian yang paling tinggi. Ketinggian tersebut bukanlah diletakkan sewenang-wenangnya oleh manusia kebanyakan, namun hal ini, jelas turut diakui oleh golongan musuh Islam yang mengkaji tentang al-Quran.

Peliknya, bagaimana tuduhan-tuduhan terhadap al-Quran, semakin galak ditimbulkan semenjak era penurunan wahyu bermula lagi, hinggalah kini. Walhal, penjelasan demi penjelasan sudah ditabur dengan suburnya, untuk menangkis hujah-hujah mereka yang sudah semestinya rapuh dan menunggu waktu untuk patah dan disingkirkan.

Golongan sebegini perlulah mengetahui bahawa al-Quran, kalam Allah, juga mukjizat yang telah diturunkan, tidak pernah diragui keasliannya oleh semua umat Islam biarpun beribu keraguan mendatang. Semuanya adalah kerana mereka tahu, keraguan yang datang biarpun nampak logik di akal manusia, namun kosong dan goyah di bahagian terasnya. Bahkan keraguan itu tidak pernah timbul terhadap satu huruf pun apatah lagi satu ayat walaupun penurunannya mengambil masa selama 23 tahun. Sepuluh tahun turunnya di Mekah al-Mukaramah dan 13 tahun di Madinah al-Munawarah kemudian disusun di dalam mashaf bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas menjadikan al-Quran benar-benar berbeza daripada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah sebelum ini. Kesempurnaan tersebut ditambah lagi dengan kaedah periwayatannya secara Mutawatir oleh para Sahabat r.a. yang pastinya suci daripada sebarang penipuan.

Asalnya golongan-golongan yang membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas itu hanyalah di kalangan masyarakat Arab Quraisy Musyrikin. Pelbagai tuduhan yang dilempar seperti mengatakan al-Quran itu adalah ajaran Rahib Bahira yang dijumpai Baginda s.a.w. ketika di Syam, syair karangan penyair hebat yang diambil ketika berniaga di Yaman dan sebagainya. Golongan ini berterusan sehinggalah ke tahap kemuncak apabila kejatuhan dan kekalahan tentera Kristian Barat di tangan tentera Islam Timur dalam perang Salib yang berlangsung dari tahun 1096-1291 Masehi.

Kekalahan tersebut meninggalkan dendam yang mendalam di hati penganut agama Kristian terutamanya pembesar negara dan paderi-paderi gereja sehinggakan raja-raja Eropah bersumpah tekad mengusir kaum ’kafir’ iaitu umat Islam. Semenjak itu, semangat orang-orang Eropah bagaikan dibakar untuk mengkritik, mengecam dan menyerang Islam tidak kira daripada sudut apapun. Apa yang penting bagi mereka hanyalah kemusnahan Islam.

Maka, di antara bahagian yang menjadi fokus utama dalam misi mereka ialah menghancurkan imej suci pembawa agama Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan menidakkan kewibawaan risalah yang dibawanya. Galakan terhadap pengarang-pengarang Orientalis untuk menulis mengenai gambaran Islam yang salah, diperhebat ke seluruh jajahan mereka yang masih berbaki. Segala penipuan itu terutamanya terhadap Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang yang pendusta, pencinta keganasan dan wanita dan penyair, ditulis sebarkan oleh mereka dengan cepatnya.

Namun, senario ini berubah apabila Eropah pada awal abad ke 17 mula dilanda arus kerasionalan dalam mengkaji bahan ilmiah. Golongan Orientalis ini tidak lagi menulis mengenai keburukan Islam, malahan mengatur langkah menulis dan mengkaji pula mengenai ajaran Islam dengan betul. Biarpun mereka yang seperti Voltaire (1684-1778) dan Thomas Crlyle (1896-1947) mula menulis tentang Islam dari perspektif positif namun, perlulah diketahui tujuannya tetap satu iaitu menghancurkan Islam.

Peperangan ini diteruskan lagi sehinggalah ke awal abad ke 20, di mana penulisan mereka diangkat sebagai rujukan utama dalam pemahaman terhadap Islam dan dunia timur. Di antara penulis-penulis yang diangkat kerana karyanya yang memperkenalkan bahasa Arab dan teks-teks klasik ialah Sir Hamilton A.R. Gibb, Louis Massignon, W.C. Smith, dan Frithjof Schoun.

Lalu, kepelikan di awal tadi mula memberikan jawapan mengapa tuduhan-tuduhan terhadap al-Quran makin menyubur bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan, padahal jawapan bagi setiap persoalan sudah banyak dibentang di hadapan mereka. Manakan tidak keadaan ini tercetus, apabila golongan barat yang mengkaji tentang Islam dan menulis tentang timur menjadi tempat rujuk bagi semua pelajar yang belajar Islam di barat. Kebenaran yang banyak itu akan mengaburkan kesalahan yang kecil tapi tersembunyi dan seterusnya dipegang oleh pelajar-pelajar tersebut. Maka, di sinilah lahirnya golongan-golongan penuduh al-Quran membuka medan menghujum kembali Islam dalam keadaan yang tidak sedar.

Namun keutuhan al-Quran tidak akan terusik dek rombongan penuduh tersebut sekalipun, kerana janji Allah benar, al-Quran akan terpelihara sepanjang zaman. Penipuan yang tiada berdasar itu sebenarnya, isunya sama. Al-Quran telah bersedia, malahan telahpun menjawap semua persoalan tersebut, cuma mata mereka yang buta, telinga mereka tuli dan hati mereka sudah mati tidak terlihat kebenaran yang maha besar itu itu sekalipun di depan mata.

Oleh itu, usahlah risau wahai sekalian muslimin! Al-Quran itu hanya dituduh tetapi tidak akan pernah dapat disabitkan, kerana tuduhan itu palsu dan lumpur yang tidak akan menyalut kebenaran dan mengotorkan keagungan al-Quran.