Monday, October 12, 2009

Proses Pengewapan Dalam Al-Quran

Assalamualaikum sahabat pembaca sekelian...
Seterusnya minggu ini kita akan berbincang tentang tafsir berasaskan pendalilan saintifik daripada buku Abdul Majid Aziz al-Zindani yang berjudul "Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains". Daripada kandungannya saya mengambil satu contoh yang dibawakan, yang mana pada saya ianya popular diperbincangkan dalam pelajaran sains hari ini. Namun sejauh mana seorang guru sekolah-sekolah di Malaysia pada hari ini cuba mengaitkan proses kitaran semula alam ini dengan dalil-dalil dari al-Quran.
Namun begitu sebenarnya saya tergolong dalam kalangan orang yang beruntung kerana telah dianugerahkan oleh Allah yang bernama cikgu Abdul Halim ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama al-Basriah Kuala Tembeling. Beliau guru sains yang berstandard 'ustaz'. Setiap pengajaran yang kami terima takkan lepas dari kata syukur dan perlu ada kaitan dengan pencipta yang Maha Agung.
Lalu hari ini saya cuba kongsikan.. mana la tau kalau-kalau ada guru sains yang terbaca moga selepas ini setiap pengajaran, Islam tidak pernah dipinggirkan. Setiap sesuatu pengajaran sepatutnya dikaitkan dengan tauladan dan pengajaran daripada kelebihan Islam. Lebih-lebih lagi sekiranya ia terkandung dalam kitab suci kita.
Hari ini kita berbincang tentang proses pengewapan. Menurut Abdul Majid Aziz al-Zindani awan ialah wap-wap air yang terapung di udara. Apabila berada dalam kuantiti yang banyak, ia akan membentuk air hujan. Kemudian air hujan akan turun ke bumi dan menjadi air telaga, air sungai, air mata air dan air di dalam tanah. Kita kemudiannya akan meminum air tersebut, mengairkan tanaman serta memberi minum kepada binatang ternakan.

Firman Allah yang bermaksud,

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit lalu dialirkan-Nya menjadi mata air di bumi, Kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya…”
(Surah al-Zumar 39: 21)

Maka, Allah menjadikan proses pembentukan awan dengan menjadikan matahari memancarkan kepanasannya. Lalu air laut bertukar menjadi wap-wap yang mengewap naik ke langit dalam bentuk wap air yang tawar dan bukan sebagai air masin. Namun begitu, wap-wap air ini tidak terus naik sehingga ke planet Marikh. Bukan tujuannya untuk dicurahkannya di sana. Tetapi tujuannya ialah supaya ia turun sebagai hujan ke atas hamba-hamba Allah di daratan dan seluruh kawasannya kerana ia amat diperlukan di sana. Oleh itu, Allah Taala menetapkan satu sistem yang menukar air laut menjadi air hujan dan diturunkan ke atas makhluknya.

Rujukan : Abdul Majid Aziz al-Zindani (2004), Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd., h. 52-53.

2 comments:

  1. salam ziarah...fuyyoo..hebat.

    ReplyDelete
  2. salam kak aishah..xtau pulak akak ada blog ni;)

    ReplyDelete