Tuesday, March 10, 2009

Al-Quran : Kelebihan bagi pembacanya

Sudah lama saya menyepi. Sibuk dengan urusan kerja dan belajar menjadikan saya alpa sebentar untuk mencari keagungan tentang al-Quran. Namun kali ini saya cuba untuk menulis berkenaan dengan kelebihan apabila membaca al-Quran apatah lagi jika kita menghayati segala isinya yang maha sempurna.

Sebenarnya banyak sekali hadith yang menyebutkan tentang kelebihan tersebut. Antaranya ialah, hadith yang cukup masyhur di kalangan pengkaji al-Quran iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud,

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginy pahala dan pahala tersebut akan digandakan sepuluh seumpamanya. Aku tidak mengatakan bahawa alif laam miim itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf.”


Hadith di atas jelas disebutkan bahawa membaca al-Quran itu dihitung setiap satunya sebagai pahala. Kehebatan itu sememangnya diimpikan bagi insan yang benar-benar bergelar pencinta al-Quran. Pahala yang satu daripada membaca huruf yang satu itu diganda oleh Allah s.w.t. sepuluh pahala kerana ketinggian martabat Kalam tersebut. Gandaan tersebut disebut oleh Mubarakfuri dalam kitabnya Tuhfah al-Ahwazi jilid ke tujuh halaman 229, yang bermaksud,

Gandaan sepuluh itu adalah nilaian gandaan yang paling sedikit atau seumpamanya. Gandaan ini merangkumi huruf Hijaiyyah, Maknanya, dan ayat yang sempurna serta kalimah yang berbeza-beza.

Justeru, apa yang ditunggu lagi oleh sekalian Muslimin dan muslimat. Rebutlah peluang yang ditabur dengan sebaik-baiknya. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, agar kita terpilih untuk dimasukkan di dalam golongan yang meraikan al-Quran dan mendapat syafaat dari Kalam-Nya yang Agung itu.

No comments:

Post a Comment