Sunday, February 1, 2009

al-Quran Kitab Rabbani

Pendidikan adalah satu aset yang wajar dimiliki oleh setiap individu. Tanpa pendidikan, manusia akan miskin dan papa nilai kemanusian. Pendidikan yang paling penting ialah pendidikan jiwa dan rohani. Sekiranya tiada didikan ini maka, seseorang itu tidak mampu untuk berdiri dengan kaki sendiri bagi melaksanakan kehidupan sehariannya dengan sempurna. Ini kerana didikan jiwa amat penting untuk mematangkan perbuatan, tindakan dan perkataan terutama sekali apabila berhubungan dengan individu yang lain.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang yang tidak terdidik jiwanya, apabila terpandang pada barangan yang cantik, pasti akan diinginya dan cuba berusaha untuk mendapatkannya walau apa cara sekalipun. Biarpun barang tersebut adalah hak kepunyaan orang lain. Tindakannya salah dan perbuatannya melanggar nilai-nilai kemanusiaan yang normal dan fitrah.
Oleh itu, sumber didikan manusia juga diperlukan sekiranya ingin melahirkan seorang individu yang terdidik. Al-Quranlah sumbernya!!!
Sistem didikan al-Quran adalah unik. Sistem ini tidak meniru mana-mana sistem yang ada di dunia ini. Kesan atau natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengagumkan dan tiada bandingan dalam sejarah. Generasi yang asal hidup bersengketa dan berperangan sesama sendiri, telah bersatu padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturunkan Allah s.w.t.) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah s.w.t. Firman Allah yang bermaksud :

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang diutuskan kepada manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah s.w.t. .”
(‘Ali Imran: ayat 110)
Maka, mengapa perlu kita mengagumi sumber kaca yang lain walhal kita sudah punya mutiara berharga. Mengapa perlu bangga dengan pelbagai etika yang tidak tetap dan sering berubah-ubah mengikut pengasas sedangkan kita punya etika dan lengkap dengan modelnya (s.a.w.) yang paling sempurna didikannya.

No comments:

Post a Comment