Tuesday, October 20, 2009

Kepentingan Air Kepada Kehidupan

Sahabat yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian,

Hari ini kita berbincang pula tentang kepentingan air kepada kehidupan dalam al-Quran. Ayat ke-23 hinggalah ke-25 surah Abasa yang bermaksud

“Maka hendaklah manusia melihat (memerhatikan dengan berfikir) kepada mekanan yang dimakannya. Ia berlaku bila kami turunkan air dengan banyak serta menakjubkan.”

Ayat dari surah Abasa di atas ini memberitahu bahawa Allah s.w.t. telah menceritakan kepada kita, bagaimana Dia s.w.t. telah menyediakan rezeki kepada makhluk-makhluknya melalui pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang melata di atas muka bumi ini. Rezeki-rezeki tersebut dihantar oleh Allah s.w.t. dengan cara menurunkan hujan dari langit.

Air hujan yang turun dari langit ini akan menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan menghidupkan pokok-pokok yang lain dan seterusnya tumbuh-tumbuhan ini akan mengeluarkan buah dan biji-bijian yang sangat diperlukan. Ia menjadi makanan kepada manusia dan binatang. Tanpa air hidupan bernyawa tidak mungkin boleh meneruskan kehidupan mereka di atas muka bumi ini.

Kita melihat bagaimana Allah s.w.t. menurunkan rahmat-Nya dengan menjadikan awan-awan yang mengandungi air dan diturunkan ke bumi bila tiba waktunya. Air-air ini akan disimpan di tempat-tempat simpanan yang tersedia seperti takungan-takungan yang telah tersedia. Selepas itu, air-air di simpanan akan dialirkan melalui akar-akar pokok yang memerlukannya.

Dr Saleh bin Ismail (2008), Surah ar-Rahman: Tafsiran dan fakta-fakta Saintifik, Al-Hidayah Publication : Kuala Lumpur hlm 57

1 comment: