Wednesday, April 29, 2009

Hukum mentafsirkan al-Quran berdasarkan Fakta Sains

Ulama telah berselisih pendapat dalam mengharuskan pentafsiran al-Quran berasaskan pendalilan saintifik. Antara ulama yang mengharuskan ialah Ibnu Kathir, Syaikh Said Hawa dan Hamka. Petikan daripada pendapatnya dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim menyebutkan bahawa, “Ayat 47 dalam surah al-Zariyat, bermaksud,

“Dan langit kami bangun dengan kekuasaan kami dan sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya.” Bermaksud “Kami (Allah) meluaskan segenap penjuru (langit) dan Kami meninggikannya tanpa tiang.”
(Surah al-Zariyat : 47)

Dengan tafsiran ini, jelas sekali ayat ini ada perkaitan dengan pengembangan alam, maka tidak ada salahnya sekiranya kita memanfaatkan penemuan semasa yang relevan bagi membantu kefahaman.”

Sesetengah ulama yang mengharamkan kerana terdapat beberapa tafsiran yang terlalu ghairah dalam mentafsirkan al-Quran menggunakan pendekatan tafsiran melalui fakta saintifik. Alasan ini adalah disebabkan sesetengah ulama akan hanya berpandu kepada kejayaan daripada sains itu, barulah dikaitkan dengan tafsiran al-Quran. Oleh itu, amatlah membahayakan sekiranya ada ulama yang mentafsirkan al-Quran dengan fakta sains yang belum muktamad. Sedangkan semua orang maklum bahawa sains akan berubah dari masa ke semasa.

Kesimpulannya, tafsiran secara pendalilan saintifik ini diharuskan namun mestilah secara bersyarat. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

Pertama: Pentafsir yang hendak mentafsir ayat al-Quran perlulah tidak mengamalkan sikap ambil mudah dan ‘tangkap muat’ ke atas semua penemuan baru dalam sains seterusnya mengaitkan dengan ayat-ayat al-Quran tanpa merujuk kepada asbab nuzul mahupun pentafsiran-pentafsiran daripada ulama muktabar.

Kedua : Pentafsir juga perlulah berhati-hati mengkaji sejauhmana ketepatan fakta sains tersebut sebelum mengaitkan dengan ayat al-Quran. Tujuannya adalah untuk mengingatkan kepada semua pentafsir yang terlibat dalam pentafsiran berasaskan pendalilan saintifik agar bersikap tidak gopoh untuk melibatkan semua ayat al-Quran dengan penemuan sains.

Ketiga : sekiranya keputusan daripada kajian sains bercanggah dengan ayat al-Quran, pentafsir perlulah jujur dalam menidakkan perkara tersebut. Ini kerana, keadaan keputusan kajian sains seringkali berubah-ubah, sedangkan al-Quran adalah kalam Allah yang Maha Benar lagi Maha Mengetahui. Fakta sains yang telah disepakati oleh ulama telah tetap dan boleh dikaitkan secara keseluruhannya dengan tafsir-tafsir ayat al-Quran dengan maklumat berkenaan sains.

No comments:

Post a Comment