Monday, April 6, 2009

Keutuhan al-Quran Menangkis Tuduhan

Kedudukan al-Quran bagi masyarakat Islam terletak di bahagian yang paling tinggi. Ketinggian tersebut bukanlah diletakkan sewenang-wenangnya oleh manusia kebanyakan, namun hal ini, jelas turut diakui oleh golongan musuh Islam yang mengkaji tentang al-Quran.

Peliknya, bagaimana tuduhan-tuduhan terhadap al-Quran, semakin galak ditimbulkan semenjak era penurunan wahyu bermula lagi, hinggalah kini. Walhal, penjelasan demi penjelasan sudah ditabur dengan suburnya, untuk menangkis hujah-hujah mereka yang sudah semestinya rapuh dan menunggu waktu untuk patah dan disingkirkan.

Golongan sebegini perlulah mengetahui bahawa al-Quran, kalam Allah, juga mukjizat yang telah diturunkan, tidak pernah diragui keasliannya oleh semua umat Islam biarpun beribu keraguan mendatang. Semuanya adalah kerana mereka tahu, keraguan yang datang biarpun nampak logik di akal manusia, namun kosong dan goyah di bahagian terasnya. Bahkan keraguan itu tidak pernah timbul terhadap satu huruf pun apatah lagi satu ayat walaupun penurunannya mengambil masa selama 23 tahun. Sepuluh tahun turunnya di Mekah al-Mukaramah dan 13 tahun di Madinah al-Munawarah kemudian disusun di dalam mashaf bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas menjadikan al-Quran benar-benar berbeza daripada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah sebelum ini. Kesempurnaan tersebut ditambah lagi dengan kaedah periwayatannya secara Mutawatir oleh para Sahabat r.a. yang pastinya suci daripada sebarang penipuan.

Asalnya golongan-golongan yang membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas itu hanyalah di kalangan masyarakat Arab Quraisy Musyrikin. Pelbagai tuduhan yang dilempar seperti mengatakan al-Quran itu adalah ajaran Rahib Bahira yang dijumpai Baginda s.a.w. ketika di Syam, syair karangan penyair hebat yang diambil ketika berniaga di Yaman dan sebagainya. Golongan ini berterusan sehinggalah ke tahap kemuncak apabila kejatuhan dan kekalahan tentera Kristian Barat di tangan tentera Islam Timur dalam perang Salib yang berlangsung dari tahun 1096-1291 Masehi.

Kekalahan tersebut meninggalkan dendam yang mendalam di hati penganut agama Kristian terutamanya pembesar negara dan paderi-paderi gereja sehinggakan raja-raja Eropah bersumpah tekad mengusir kaum ’kafir’ iaitu umat Islam. Semenjak itu, semangat orang-orang Eropah bagaikan dibakar untuk mengkritik, mengecam dan menyerang Islam tidak kira daripada sudut apapun. Apa yang penting bagi mereka hanyalah kemusnahan Islam.

Maka, di antara bahagian yang menjadi fokus utama dalam misi mereka ialah menghancurkan imej suci pembawa agama Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan menidakkan kewibawaan risalah yang dibawanya. Galakan terhadap pengarang-pengarang Orientalis untuk menulis mengenai gambaran Islam yang salah, diperhebat ke seluruh jajahan mereka yang masih berbaki. Segala penipuan itu terutamanya terhadap Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang yang pendusta, pencinta keganasan dan wanita dan penyair, ditulis sebarkan oleh mereka dengan cepatnya.

Namun, senario ini berubah apabila Eropah pada awal abad ke 17 mula dilanda arus kerasionalan dalam mengkaji bahan ilmiah. Golongan Orientalis ini tidak lagi menulis mengenai keburukan Islam, malahan mengatur langkah menulis dan mengkaji pula mengenai ajaran Islam dengan betul. Biarpun mereka yang seperti Voltaire (1684-1778) dan Thomas Crlyle (1896-1947) mula menulis tentang Islam dari perspektif positif namun, perlulah diketahui tujuannya tetap satu iaitu menghancurkan Islam.

Peperangan ini diteruskan lagi sehinggalah ke awal abad ke 20, di mana penulisan mereka diangkat sebagai rujukan utama dalam pemahaman terhadap Islam dan dunia timur. Di antara penulis-penulis yang diangkat kerana karyanya yang memperkenalkan bahasa Arab dan teks-teks klasik ialah Sir Hamilton A.R. Gibb, Louis Massignon, W.C. Smith, dan Frithjof Schoun.

Lalu, kepelikan di awal tadi mula memberikan jawapan mengapa tuduhan-tuduhan terhadap al-Quran makin menyubur bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan, padahal jawapan bagi setiap persoalan sudah banyak dibentang di hadapan mereka. Manakan tidak keadaan ini tercetus, apabila golongan barat yang mengkaji tentang Islam dan menulis tentang timur menjadi tempat rujuk bagi semua pelajar yang belajar Islam di barat. Kebenaran yang banyak itu akan mengaburkan kesalahan yang kecil tapi tersembunyi dan seterusnya dipegang oleh pelajar-pelajar tersebut. Maka, di sinilah lahirnya golongan-golongan penuduh al-Quran membuka medan menghujum kembali Islam dalam keadaan yang tidak sedar.

Namun keutuhan al-Quran tidak akan terusik dek rombongan penuduh tersebut sekalipun, kerana janji Allah benar, al-Quran akan terpelihara sepanjang zaman. Penipuan yang tiada berdasar itu sebenarnya, isunya sama. Al-Quran telah bersedia, malahan telahpun menjawap semua persoalan tersebut, cuma mata mereka yang buta, telinga mereka tuli dan hati mereka sudah mati tidak terlihat kebenaran yang maha besar itu itu sekalipun di depan mata.

Oleh itu, usahlah risau wahai sekalian muslimin! Al-Quran itu hanya dituduh tetapi tidak akan pernah dapat disabitkan, kerana tuduhan itu palsu dan lumpur yang tidak akan menyalut kebenaran dan mengotorkan keagungan al-Quran.

No comments:

Post a Comment